Oleh: Roodwill
KOTA BELUD: Pencinta aktiviti lasak yang mencari pengalaman baharu mungkin memilih trek ke Marai-Parai dari Kampung Kiau. Laluan sejauh kira-kira 7 kilometer ini menguji ketahanan fizikal dan mental pendaki dengan cerun curam, jambatan gantung yang bergoyang dan denai hutan yang sempit.
Keindahan dataran tinggi Marai-Parai di lereng barat laut Gunung Kinabalu bukan sesuatu yang boleh dinikmati dengan mudah. Terletak pada ketinggian kira-kira 1,652 meter dari aras laut, laluan ini mengambil masa sekitar enam jam untuk ditawan.
Tinjauan lapangan pada Mac lalu bersama porter tempatan dari Kampung Kiau Nuluh membuktikan trek itu menguji kesabaran sejak langkah pertama.

Pendakian bermula seawal pagi dalam suhu sejuk dan gelap, dengan hanya cahaya lampu suluh menjadi panduan.
Cabaran bermula ketika rombongan menuruni cerun curam di kawasan Pondok Dundurongon yang permukaan tanahnya basah dan licin.
Ujian diteruskan di Sungai Tinokok apabila pendaki perlu melalui jambatan gantung yang bergoyang setiap kali melangkah. Kemudian, mereka memasuki denai hutan yang sempit sehingga beban dan beg galas kerap tersangkut pada dahan dan batang pokok.

“Maju ke depan langgar kayu, mundur sedikit pun langgar kayu. Maju melangkah ke depan, terundur sedikit… licin ouh,” ujar seorang porter, Munikah Ginsos, menggambarkan kesukaran mengawal imbangan di laluan itu.

Selesai menyeberangi Sungai Tohubang menggunakan jambatan buluh yang dibina tinggi untuk mengelak risiko kepala air, pendakian menjadi semakin curam ketika memasuki kawasan hutan tebal.
Hampir dua jam meredah kegelapan, barulah cahaya matahari mula menembusi celah rimbunan pokok, diiringi kicauan burung dan bunyi serangga hutan.

Bagi porter berpengalaman, Japarin Ginsos, 48, yang sudah lebih 20 kali melalui trek itu, kecuaian sesaat boleh mengundang padah.
“Buat masa ini laluan masih berlumpur dan licin, jadi memang perlu berhati-hati setiap masa,” tegasnya.
Pandangan itu turut disokong seorang porter wanita, Yasni Sapinggi, yang sudah lebih 10 kali menawan laluan sama.
“Tanah berlumpur seperti laluan kerbau memang perlukan fokus dan disiplin tinggi pada setiap langkah,” katanya.

Sepanjang pendakian, rombongan berhenti berehat seketika di Nunuk Basecamp sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan terbuka Nabalu Sambau, yang menawarkan pemandangan luas dan dihiasi tumbuhan liar seperti pokok periuk kera.

Seterusnya, rombongan berdepan satu lagi ujian getir di anak Sungai Kinotoki. Setiap pendaki berpaut erat pada tali keselamatan untuk menyeberangi arus sungai.

Segala keperitan meredah lumpur dan cerun curam akhirnya terbayar sebaik sahaja tiba di dataran tinggi Marai-Parai. Hamparan hijau yang luas dan udara sejuk menyambut ketibaan rombongan, berlatarbelakangkan pemandangan megah Gunung Kinabalu yang indah.

Laluan ikonik Kampung Kiau ke Marai-Parai dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 16 Januari 2027 sempena Tahun Melawat Sabah 2027. Laluan ini menjadi pilihan baharu kepada pencinta aktiviti lasak untuk meneroka sisi berbeza Gunung Kinabalu.
