Oleh: Nurul.N
KOTA KINABALU: Catuan bekalan elektrik secara bergilir terus dilaksanakan di kawasan Pantai Timur Sabah. Langkah itu susulan insiden menara penghantaran T313 menyebabkan bekalan elektrik kini bergantung kepada kapasiti penjanaan setempat yang terhad.
Sabah Electricity dalam kenyataan memaklumkan catuan itu bertujuan memastikan lebih ramai pengguna mendapat bekalan elektrik. Ia juga untuk mengekalkan kestabilan sistem dan mengelakkan gangguan lebih meluas.
Justeru, set janakuasa bergerak (genset) digerakkan ke lokasi penting termasuk hospital, sekolah dan balai polis. Langkah itu bertujuan memastikan perkhidmatan asas kepada masyarakat tidak terjejas.
Sabah Electricity memaklumkan pihaknya sedang memanfaatkan semua sumber penjanaan tersedia untuk meningkatkan kapasiti bekalan elektrik yang dapat disalurkan kepada pengguna.
Maklumat terkini mengenai pelaksanaan catuan dan kawasan terlibat akan disalurkan menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline.
