Oleh: Nurul Fazliana Norman
INDONESIA: 11 Ogos 2026 – Kawasan pelancongan Gunung Bromo di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS), Indonesia ditutup kepada pengunjung bermula 8 Ogos lalu, susulan kebakaran hutan yang semakin meluas di kawasan Kaldera Bromo, supaya operasi pemadaman dijalankan dengan berkesan, sekali gus memastikan keselamatan pengunjung.
Penutupan itu melibatkan semua pintu masuk kawasan pelancongan Bromo, termasuk Cemoro Lawang di Kabupaten Probolinggo, Wonokitri di Kabupaten Pasuruan, Jemplang, Coban Trisula di Kabupaten Malang, dan Senduro di Kabupaten Lumajang.
Menurut kenyataan BBTNBTS, penutupan itu berkuat kuasa mulai jam 10 malam waktu Indonesia Barat sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
Langkah itu diambil untuk memberi ruang kepada usaha pemadaman kebakaran selain mengambil kira aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung di kawasan berkenaan.
Bagi pengunjung yang telah membuat tempahan secara dalam talian sepanjang tempoh penutupan, pihak pengurusan menyediakan pilihan penjadualan semula lawatan atau bayaran balik, tertakluk kepada proses yang ditetapkan melalui aplikasi tempahan dalam talian TNBTS.
Dalam pada itu, masyarakat, pengunjung dan pengusaha perkhidmatan pelancongan diminta tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan TNBTS sepanjang tempoh penutupan.
Mereka turut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam penggunaan api untuk membantu mencegah risiko kebakaran dan menjaga keselamatan kawasan taman nasional berkenaan.
Sumber: Balai Besar Taman Nasional Bromo Tengger Semeru

