Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 1 September 2026 – Seramai 15 pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau menerima dana berjumlah RM45,000 menerusi program Fun(d) for Life anjuran Arus Academy dan FWD Insurance di Likas Square Apartment Hotel, Kota Kinabalu, pada 22 Ogos lalu, selepas berjaya melaksanakan projek komuniti literasi kewangan.
Setiap pelajar menerima RM3,000 hasil kejayaan melaksanakan kempen kesedaran literasi kewangan dalam komuniti masing-masing.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan pelajar memimpin dan melaksanakan projek yang memberi impak kepada masyarakat.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian para pelajar yang berjaya melaksanakan projek komuniti berimpak tinggi dan menunjukkan tahap kepimpinan yang wajar dikagumi,” katanya.
Beliau berkata, pendedahan literasi kewangan penting dalam membantu golongan belia mengurus kewangan dengan bijak dan merancang masa depan dengan lebih teratur.
Sebelum melaksanakan projek, para pelajar mengikuti kem latihan selama tiga hari pada Mei lalu yang merangkumi pengurusan perbelanjaan, amalan menabung dan strategi pelaburan.
Menerusi program itu, setiap pelajar turut menerima geran mikro RM300 untuk melaksanakan kempen literasi kewangan melalui aktiviti seperti ceramah, webinar, kuiz dan permainan pendidikan.
Seramai 42 pelajar institusi pengajian tinggi lain dari zon Sabah dan Labuan turut menerima dana menerusi program sama.

