Hanya 272 KIR warganegara disahkan di Kampung Bahagia

Gambar 272 KIR

SANDAKAN: 24 April 2026 – Data rasmi bencana kebakaran Kampung Bahagia mendedahkan jurang ketara antara mangsa warganegara dan bukan warganegara, sekali gus menjadi asas kepada pendekatan intervensi bersasar yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan, daripada 385 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), hanya 272 KIR warganegara, manakala 113 lagi adalah bukan warganegara.

Ketidakseimbangan ini turut disokong oleh data bancian terdahulu yang menunjukkan majoriti penduduk kawasan berkenaan terdiri dari bukan warganegara, menjadikan pengurusan bantuan dan penempatan semula lebih kompleks.

Secara keseluruhan, seramai 1,912 mangsa telah ditempatkan di PPS, dengan proses pendaftaran dan pengesahan identiti masih berjalan untuk memastikan hanya penerima yang layak disenarai mendapat bantuan jangka panjang.

Dalam langkah intervensi segera, pihak berkuasa merancang pelaksanaan penempatan semula di tapak asal dengan pendekatan lebih tersusun, termasuk penyediaan kemudahan asas yang mencukupi. Proses ini akan dilaksanakan selepas saringan ketat oleh pasukan khas (task force) bagi menentukan kelayakan penerima.

Bagi fasa awal pemulihan, cadangan bantuan pembinaan rumah melibatkan 272 KIR warganegara dengan anggaran kos RM5.44 juta, selain peruntukan tambahan sekitar RM30 juta untuk pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik, klinik, jalan raya dan kemudahan komuniti.

Cadangan pembinaan pusat pemindahan kekal turut dikemukakan untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana pada masa hadapan.

Pendekatan ini mencerminkan strategi dua hala: memberi fokus kepada kebajikan mangsa yang sah di sisi undang-undang, sambil memastikan proses penyaluran bantuan berlangsung secara telus dan berintegriti.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa semua keputusan akan dibuat berdasarkan data sahih dan tapisan rapi, untuk mengelak penyalahgunaan bantuan dan memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang layak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal