Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
TUARAN: 11 Ogos – Bukan sekadar mempamerkan kehadiran, Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) menjadi ruang paling bermakna buat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mendekati warga Sabah. Di sebalik tugas menjaga perairan, kehadiran agensi ini kali lain: mendengar terus keluhan nelayan dan penduduk kampung.
Pegawai Jurutera Marin KM Bendahara, LT KDR (M) Ahmad Syafiq Abdul Hamid mengakui, program ini mengubah cara agensi berinteraksi. Setiap persinggahan bukan sekadar kunjungan rasmi, tetapi peluang duduk sama rendah dengan komuniti.

“Penglibatan APMM dalam KMJG ini kita dapat memperkenalkan maritim kepada rakyat, terutama mereka di pedalaman. Yang lebih penting, kita dapat mendengar luahan dan masalah masyarakat setempat, terutama berkaitan maritim dan perikanan,” katanya pada Majlis Perasmian KMJG Peringkat Daerah Tuaran, Ahad.
Sepanjang jelajah merangkumi Tawau, Sandakan, dan Kuala Penyu, anak-anak kapal mendengar sendiri kisah nelayan yang mengharapkan perairan lebih selamat. Ada yang meluahkan kekurangan sumber, ada yang berkongsi pengalaman menghadapi cabaran di laut.
Bagi Ahmad Syafiq, maklum balas itu lebih berharga daripada mana-mana laporan. Melalui sentuhan manusiawi ini, APMM bukan lagi sekadar penguat kuasa, tetapi rakan komuniti yang prihatin. Beliau berharap hubungan erat ini terus subur, sekali gus melahirkan kesedaran kolektif demi keselamatan perairan negara.
Sumber: JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

