Dakwaan FB Sultan Sulu, ancaman kedaulatan Sabah disiasat

WhatsApp Image 2026 07 28 at 8.27.52 PM

oleh David E.

TUARAN: 28 Julai 2025 – Satu hantaran media sosial yang menggunakan gambar lama dari Penjara Quezon City, Manila, untuk mendakwa wujud kematian dan kesesakan di pusat tahanan Sabah, dan mengaitkan komuniti Tausug dengan hak sejarah terhadap Sabah, kini disiasat kerana berpotensi mencetuskan sentimen mengancam kedaulatan dan keselamatan negara.

Naratif itu dimuat naik melalui akaun Facebook “Sultan Muedzul-Lail Tan Kiram” yang dipercayai milik individu mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu.

Semakan awal mendapati gambar yang disertakan bukan dirakam di Sabah, sebaliknya dari sumber luar negara yang digunakan di luar konteks. Hantaran itu turut mendakwa berlaku kematian dalam pusat tahanan akibat kesesakan – dakwaan yang setakat ini belum disahkan dan disyaki palsu.

Menyedari keseriusan ancaman itu, Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS), Keyafatullah Malik Aman, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran pada malam Sabtu untuk membolehkan siasatan segera dilancarkan.

Beliau menegaskan kandungan itu bukan sekadar perbezaan pendapat di media sosial, tetapi boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menghakis kepercayaan terhadap institusi penguatkuasaan.

“Ini bukan sekadar perbezaan pandangan di media sosial. Jika sesuatu kandungan membawa dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya, disertakan dengan gambar yang didakwa tidak menggambarkan keadaan sebenar dan dikaitkan dengan naratif sejarah Sabah, ia berpotensi membentuk persepsi yang salah dalam kalangan masyarakat, termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.

Keyafatullah mengingatkan Sabah bukan asing dengan ancaman berkaitan tuntutan Kesultanan Sulu. Beliau berkata, setiap naratif yang menyentuh kedaulatan negeri itu perlu dinilai berdasarkan fakta, bukan bahan visual atau kenyataan tidak sahih.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga sesuatu naratif berkembang menjadi konflik yang lebih besar. Jika terdapat unsur penyebaran maklumat yang mengelirukan atau cubaan mempengaruhi persepsi awam terhadap Sabah dan Malaysia, tindakan perlu diambil lebih awal. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada berdepan implikasi yang sukar dikawal pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan agensi berkaitan meneliti perkara itu mengikut bidang kuasa masing-masing.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak berkongsi kandungan yang belum disahkan, terutamanya yang melibatkan isu keselamatan, hubungan diplomatik, dan kedaulatan negara.

Siasatan menyeluruh diharap memberi penjelasan kepada masyarakat, manakala sebarang tindakan seterusnya perlu berlandaskan fakta dan bukti kukuh di sisi undang-undang.

Sumber: PAKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal