SANDAKAN: 10 Mei 2026 – Sambutan Pesta Kaamatan di Sandakan menjadi platform berkesan menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan kelompok politik.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, keunikan sambutan di daerah itu terserlah ketika pemimpin kerajaan dan pembangkang hadir bersama untuk memeriahkan acara tersebut.
“Saya lihat Sandakan agak unik kerana bukan sahaja dapat menyatukan budaya dan etnik, malah turut merapatkan para pemimpin dari pelbagai latar belakang parti politik. Empat wakil rakyat pembangkang turut hadir meraikan Pesta Kaamatan kali ini,” katanya ketika ditemui pada sambutan itu, kelmarin.
James turut menghargai sokongan ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah terhadap penganjuran perayaan berkenaan.
Menurutnya, lebih banyak program seumpama itu perlu diadakan demi mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
Justeru, beliau turut mengingatkan golongan muda untuk menggunakan teknologi digital dan media sosial secara positif. Katanya, teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) tidak sepatutnya disalah guna untuk menyebarkan fitnah atau perkara negative, sebaliknya, boleh dimanfaatkan untuk memperluaskan pasaran, mempromosikan budaya tempatan, dan membantu sektor pelancongan Sabah.
“Sekarang semuanya boleh dibuat secara langsung dan anak muda boleh menggunakan platform digital untuk memperkenalkan budaya kita ke seluruh dunia,” ujarnya.
