oleh David E.
KOTA KINABALU: 26 September 2026 – Muzium Negeri Sabah menjadi tumpuan apabila program Borneo Lab 2026 berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin hingga Ahad. Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Aldofus Lester John Millip, berkata program itu bukan sekadar pameran, tetapi pengalaman interaktif yang menggabungkan sains, teknologi, budaya dan warisan.

“Kami mahu meningkatkan minat masyarakat, khususnya pelajar, terhadap sains dan teknologi,” katanya. Menurut beliau, program ini memberi peluang kepada pelajar dan pengunjung belajar secara hands-on serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

Antara tarikan utama ialah pameran Pusat Sains Negara, pengalaman mencanting batik, kempen derma darah, dan pameran motosikal berkuasa tinggi oleh Sabah Big Bikers. Pengunjung juga berpeluang melihat lebih 10 rumah tradisional di Fasa Satu dan Fasa Dua, termasuk rumah panjang Murut dengan lansaran dan ruang biliknya.

Di rumah tradisional, agensi seperti UMS mempamerkan elemen maritim dan biologi, manakala Taman-Taman Sabah menampilkan taman dan kehidupan liar. Kawasan Muzium Sabah seluas 16.96 hektar juga menempatkan Taman Etnobotani, plot herba dan pokok buah-buahan jarang ditemui seperti belunu.

Aldofus menegaskan peranan muzium bukan hanya menyimpan barang lama. “Muzium ini menyimpan, mendokumentasi dan mempamer. Ia mewujudkan kesedaran dan pengetahuan kepada pengunjung,” katanya.
Bangunan utama masih ditutup untuk pembaikan. Koleksi natural history dipamerkan di bangunan baharu berhampiran tempat letak kereta, dan Muzium Tamadun Islam telah dinaik taraf.
Bagi memudahkan kunjungan, Sabah Tourist Guide Association menawarkan lawatan berpandu. Pelawat tempatan dikenakan RM2 manakala pelawat luar negara RM15. Sekolah juga boleh mengatur lawatan berpandu melalui Bahagian Pendidikan muzium.
“Harapan saya, pengunjung dan pelajar mendapat pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya. Beliau menambah, kesedaran bukan sekadar mengenal budaya, tetapi memahami kepentingan memelihara warisan negeri.
Muzium juga proaktif menarik minat generasi muda melalui program bermalam di muzium untuk pelajar sekolah menengah, termasuk aktiviti pengecaman, pengumpulan spesimen tumbuhan dan dokumentasi. Kolaborasi dengan Universiti Sains Malaysia dan UMS dalam bidang arkeologi dan sejarah terus berjalan.
Menurut Lester, program yang diadakan seperti Borneo Lab 2026 membawa pengunjung ke Muzium Sabah sekaligus mendedahkan mereka kepada peranan dan persekitaran dengan lebih dekat lagi.
“Dengan pelbagai tarikan interaktif, warisan dan alam semula jadi, Borneo Lab 2026 adalah peluang terbaik untuk keluarga dan pelajar menghargai khazanah Sabah. Jom berkunjung ke Muzium Negeri Sabah sebelum program berakhir Ahad ini,” serunya.

