Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
PENAMPANG: 11 Ogos 2026 — Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Persekutuan membayar hak 40 peratus hasil Sabah secara penuh dan tidak lagi bergantung kepada bayaran interim yang bersifat sementara.

Beliau menegaskan tuntutan itu memerlukan mekanisme penyelesaian yang muktamad. “Sekiranya tiada persetujuan dicapai mengenai jumlah sebenar, pentaksir bebas perlu dilantik bagi menentukan amaun berkenaan,” tegasnya dalam ucaptama pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Penampang hari ini.
Ewon mengalu-alukan peningkatan pemberian interim daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion tahun ini. Namun katanya, “pembayaran interim tidak boleh menjadi penyelesaian kekal” kerana ia hanya langkah sementara sebelum jumlah sebenar diputuskan.
Selain hak kewangan, beliau menuntut Sabah dan Sarawak mendapat sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen sebagai perlindungan perlembagaan mengikut semangat asal MA63. Mengenai isu wilayah, Ewon menegaskan sempadan laut, autonomi imigresen dan kuasa penuh ke atas tanah adalah “perkara yang tidak boleh dirundingkan.”

UPKO menyokong penubuhan Jawatankuasa Antara Parti di DUN Sabah untuk memperkukuh rundingan MA63 bersama kerajaan negeri. Ewon berkata sudah tiba masanya kerusi Parlimen Sabah ditambah, memandangkan kawasan sedia ada masih sama sejak 2004.
Persidangan hari ini turut membentangkan enam usul utama, termasuk agenda Sabah First yang menekankan pembangunan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik stabil dan liputan telekomunikasi.
Beliau mahu aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan pembasmian kemiskinan terus menjadi keutamaan kerajaan.
Ewon menerima sokongan untuk meneruskan kepimpinan UPKO bagi penggal sehingga 2029.

