KOTA KINABALU: 18 November 2026 – Bagi mereka yang baru keluar dari kemiskinan, pekerjaan stabil amat bermakna. Itulah yang mahu dipastikan KTC menerusi sasaran penambahan tenaga kerjanya dari 1,500 ke 2,500 orang dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
Sasaran itu seiring perancangan mengembangkan perniagaan ke nilai RM2 bilion hingga RM3 bilion.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, berkata pertumbuhan itu bukan sekadar angka. Ia membawa komitmen memperluas peluang pekerjaan supaya golongan yang dibantu kerajaan mampu kekal bekerja dan menikmati taraf hidup lebih baik.
“Usaha membasmi kemiskinan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan. Ia memerlukan penglibatan aktif sektor korporat.
“Komuniti korporat perlu bertanya, apakah sumbangan kita untuk melengkapkan rantaian keusahawanan sosial?” katanya selepas sesi pembentangan agenda pembasmian kemiskinan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut Dexter, KTC sedang membangunkan infrastruktur dan melaksanakan transformasi kecerdasan buatan (AI) sejak 1 Oktober lalu. Inisiatif itu mendokumentasikan pengalaman operasi 90 tahun merangkumi tiga generasi.

Ia bertujuan memastikan setiap pekerja mempunyai akses kepada pengetahuan dan panduan sama untuk meningkatkan daya saing, tanpa mengira latar belakang.
“Yang penting ialah keupayaan bertanya soalan tepat, usaha sendiri, sikap proaktif dan kerja keras,” katanya.
Dexter berkata KTC mencatat peningkatan penyertaan Bumiputera kepada 70 peratus dan 30 peratus warga asing ketika ini, berbanding hanya 40 peratus Bumiputera dan 60 peratus warga asing kira-kira lima hingga enam tahun lalu.
Katanya, pencapaian itu membuktikan tenaga kerja Bumiputera sudah bersedia berkembang bersama syarikat. Ia sekali gus menyumbang kepada aspirasi SMJ agar kemajuan sosioekonomi rakyat dapat dikekalkan.
