KUALA LUMPUR: 10 September 2026 — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan bahawa MyKid dan sijil kelahiran boleh “dibeli” untuk membolehkan warga asing mendapatkan MyKad.
JPN menjelaskan permohonan MyKad kali pertama pada usia 12 tahun tidak diluluskan hanya berdasarkan kedua-dua dokumen itu.
Sebaliknya, setiap permohonan melalui semakan rekod sedia ada JPN termasuk maklumat pemohon, rekod kelahiran, ibu bapa dan pertalian yang direkodkan.
Pemohon juga perlu hadir bersama ibu atau bapa untuk pengesahan identiti dan pertalian, selain kesepadanan rupa paras turut diambil kira.
Menurut JPN, jika terdapat ketidakpadanan maklumat atau keraguan terhadap identiti pemohon, permohonan akan dirujuk kepada Bahagian Penguatkuasaan untuk siasatan lanjut.
Kes tertentu juga boleh dibawa ke Panel Jawatankuasa Daftar Lewat dan ujian DNA boleh dijalankan jika diperlukan.
JPN meminta pihak yang mempunyai maklumat atau bukti berkaitan dakwaan penjualan dan penyalahgunaan identiti warganegara supaya tampil untuk siasatan.
JPN menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan identiti atau pelanggaran undang-undang, selain akan terus memperkukuh SOP dan mekanisme kawalan sedia ada.
Sumber: JPN

