Agropreneur muda Telupid gabung ilmu psikologi dan pertanian moden

Gambar Emanuel Atin

TELUPID: 27 April 2026 – Seorang usahawan muda dari Kampung Wonod membuktikan bahawa gabungan ilmu akademik dan keusahawanan mampu membuka ruang baharu dalam sektor pertanian moden di luar bandar.

Emmanuel Atin, 33, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi Industri dan Organisasi dari Universiti Malaysia Sabah, kini mengusahakan projek hidroponik dan penternakan itik penelur sebagai sumber pendapatan utama, di samping aktif dalam kepimpinan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, latar belakang dalam bidang psikologi banyak membentuk cara berfikir yang lebih analitikal dan berorientasikan penyelesaian, sekali gus membantu dalam membuat keputusan dan mengurus cabaran dalam perniagaan.

“Pendekatan psikologi membantu saya memahami situasi dengan lebih rasional dan mencari penyelesaian secara sistematik, termasuk dalam mengurus operasi harian dan berdepan tekanan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, keputusan untuk beralih ke sektor pertanian dibuat selepas melihat potensi ekonomi yang wujud di kawasan luar bandar, khususnya dalam bidang pertanian moden yang lebih efisien dan berdaya maju.

Emmanuel memilih untuk memberi tumpuan kepada sistem hidroponik dan penternakan itik kerana kedua-dua bidang itu mampu menjana pendapatan secara konsisten dan tidak terlalu bergantung kepada faktor cuaca.

Mengulas mengenai cabaran awal, Emmanuel mengakui berdepan kekangan dari segi modal, kemahiran teknikal dan penerimaan masyarakat. Namun, beliau mengatasinya melalui pembelajaran berterusan, mendapatkan bimbingan mentor serta mengamalkan kaedah “trial and error” sehingga berjaya menstabilkan operasi.

Dalam masa sama, beliau turut mengamalkan ilmu psikologi dalam pengurusan perniagaan, termasuk aspek disiplin diri, komunikasi dengan pekerja dan pelanggan, dan memahami kehendak pasaran.

“Komuniti memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan ekonomi setempat. Kerjasama dan perkongsian ilmu dapat membantu lebih ramai untuk berjaya bersama,” katanya.

Beliau turut melihat pertanian moden sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar, terutama di kawasan seperti Telupid, sekiranya diusahakan secara serius dan sistematik.

Dalam perancangan jangka panjang, Emmanuel berhasrat untuk memperluas skala operasi dan melibatkan lebih ramai belia dalam sektor pertanian, dengan matlamat membina ekosistem yang mampan dan berimpak.

Pada masa sama, beliau menggalakkan golongan muda agar berani mencuba bidang baharu dan tidak terlalu terikat dengan latar belakang pengajian semata-mata.

“Mulakan dengan apa yang ada, terus belajar dan kekal konsisten. Itu kunci utama untuk berjaya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal