ADUN Telupid gesa JKKK lebih proaktif selesaikan isu kampung

Screenshot 20260612 201901 Chrome

TELUPID: 12 Jun 2026 – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu berfungsi sebagai penghubung utama antara rakyat, wakil rakyat dan agensi kerajaan untuk memastikan segala isu, keperluan dan aspirasi masyarakat dapat disampaikan dan ditangani dengan berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Dr. Jonnybone J. Kurum, berkata peranan JKKK tidak hanya tertumpu kepada aspek pentadbiran kampung, sebaliknya merangkumi tanggungjawab lebih luas dalam menjaga kebajikan, keselamatan dan kemajuan masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JKKK Daerah Telupid untuk sesi 2026 hingga 2030.

1003156808
Sebahagian Pengerusi JKKK yang menerima watikah pelantikan bagi daerah Telupid. Foto – MDTel

“JKKK merupakan barisan hadapan yang paling hampir dengan rakyat. Mereka perlu mengetahui keadaan kampung, mengenal pasti keperluan penduduk dan menjadi saluran utama dalam menyampaikan maklumat kepada kerajaan dan agensi berkaitan,” katanya.

Jonnybone menegaskan setiap pengerusi JKKK perlu peka terhadap perkembangan semasa dan menjadi pemimpin yang memahami keadaan sebenar penduduk.

1003156787
Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Raynold Thomas. Foto – MDTel

“Jangan tunggu sehingga masalah menjadi serius. Jika terdapat isu berkaitan infrastruktur, kebajikan, keselamatan atau kemudahan asas, maklumkan segera kepada pihak yang bertanggungjawab supaya tindakan dapat diambil tanpa kelewatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengerusi JKKK supaya mengamalkan kepimpinan yang dekat dengan rakyat, dengan sentiasa turun padang untuk mendengar sendiri pandangan dan keluhan masyarakat.

Jelasnya lagi, pelbagai cabaran pembangunan masih perlu diberi perhatian, terutama kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik yang menjadi keperluan utama masyarakat luar bandar.

“Pembangunan yang berkesan memerlukan kerjasama semua pihak. Apabila JKKK, wakil rakyat, agensi kerajaan dan masyarakat bergerak seiring, segala cabaran dapat ditangani dengan lebih baik demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan kampung,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal