Kes Dadah-Rakyat Malaysia Jalani Hukuman Gantung di Singapura Hari Ini

photo 6244567168175948998 y

KUALA LUMPUR: 24 September 2025 – Rakyat Malaysia, K Datchinamurthy, 39, dijadual menjalani hukuman gantung di Singapura hari ini selepas didapati bersalah mengedar 44.96 gram heroin pada 2011.

Hukuman itu tetap diteruskan walaupun terdapat bantahan terakhir, termasuk demonstrasi di Hong Lim Park, Singapura, seperti dikongsi bekas peguamnya dan aktivis Singapura, M Ravi, di Facebook.

Notis rasmi pelaksanaan hukuman mati itu diterima pada Ahad lalu dan turut disiarkan di media sosial bersama gambar dokumen rasmi serta gambar Datchinamurthy.

Datchinamurthy dijatuhi hukuman mati pada 2015 dan sepatutnya dihukum pada 2022, namun Mahkamah Tinggi Singapura menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu saman undang-undangnya terhadap kerajaan Singapura berkaitan keputusan tersebut.

Beliau merupakan salah seorang daripada empat rakyat Malaysia yang menunggu hukuman mati di republik itu selain P Pannir Selvam, S Saminathan dan R Lingkesvaran.

Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan Malaysia mengambil segala langkah diplomatik dan perundangan yang ada bagi melindungi hak serta nyawa warganegara Malaysia yang dijatuhi hukuman mati di luar negara.

Suhakam juga meminta mekanisme hak asasi manusia antarabangsa dan serantau digerakkan supaya kes seumpama ini diberikan perhatian sewajarnya.

Suruhanjaya berkenaan menegaskan kerajaan perlu meneruskan peranan kepimpinan Malaysia dalam memperjuangkan penghapusan hukuman mati secara berperingkat di peringkat serantau dan antarabangsa.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal