RANAU: 12 Ogos 2026 – Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan bersama empat botol air ketum dalam serbuan di sebuah perkampungan di daerah Ranau, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 12 tengah hari itu, polis turut merampas empat botol mineral mengandungi 1.5 liter air ketum, plastik berisi daun ketum seberat satu kilogram, selain satu tong gas berwarna hijau, dapur memasak dan periuk yang dipercayai digunakan untuk memasak air ketum.
Hasil risikan berterusan dan maklumat masyarakat membawa kepada tindakan penangkapan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Ranau.
Pengambilan dan pemprosesan cecair ketum adalah kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketua Polis Daerah Ranau, Supt. Mursalin bin Mahmud berkata, polis akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan itu demi kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menjadi “mata dan telinga” PDRM dengan menyalurkan maklumat awal bagi membantu tindakan pencegahan.
Sumber: BSJN IPD Ranau

