Tokoh Wartawan Veteran Sabah Joseph Bingkasan Meninggal Dunia

Red Dark Gradient Sport Boxing Facebook Post 19

KOTA KINABALU: 21 April 2026 – Dunia kewartawanan Sabah kehilangan tokoh wartawan veteran, Joseph Bingkasan, 71, yang meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Queen Elizabeth II.

Pemergian beliau pada jam 3.56 pagi disahkan anaknya, Lester J. Bingkasan, yang juga seorang wartawan.

Mendiang yang berkhidmat lebih 30 tahun dalam industri kewartawanan dilaporkan menghidap kanser tulang dan prostat sejak 2014, selain mengalami kegagalan buah pinggang dan darah tinggi.

Joseph memulakan kerjaya sebagai penyunting di akhbar Kinabalu Sabah Times pada 1977 sebelum menyertai New Straits Times Press (NSTP) sebagai wartawan di Sabah.

Pengalaman luas dimilikinya membawa beliau berkhidmat di pejabat NST di London menerusi Times of Malaysia London Ltd.

Sekembalinya ke tanah air, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Bahagian Editorial NST Sabah dan Sarawak yang berpangkalan di Kuching sebelum berpindah ke ibu pejabat NST di Kuala Lumpur pada 2004.

Beliau turut pernah berkhidmat bersama akhbar Daily Express di Sabah dan portal Free Malaysia Today.

Selain aktif dalam media arus perdana, mendiang turut mengasaskan portal berita Talantang.com yang dibangunkan menggunakan dana sendiri dan dikendalikan dari awal.

Melalui portal itu, beliau terus menulis kebanyakan laporan dengan bantuan beberapa rakan lama, sekali gus meneruskan minat serta komitmen terhadap dunia kewartawanan hingga ke akhir hayat.

Jasa dan sumbangannya diiktiraf apabila menerima Anugerah Tokoh Kewartawanan daripada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) pada 2019.

Menurut anak saudaranya, Suzanne Lujain Bingkasan, mendiang turut memainkan peranan penting membantu penubuhan portal berita TV Sabah pada Oktober 2022.

Katanya, Joseph menjadi tulang belakang dalam pembangunan awal portal itu selain berkongsi pengalaman dan ilmu bagi memastikan operasinya berjalan lancar.

Pada 2023, beliau antara penerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA yang disampaikan Menteri Komunikasi ketika itu, Fahmi Fadzil.

Mendiang turut menerima Anugerah Penghargaan daripada Kelab Akhbar Kebangsaan dan Gabungan Media Sabah pada tahun sama.

Walaupun uzur, beliau terus aktif menyuarakan pandangan termasuk mencadangkan Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 diadakan di Sabah selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau juga menggesa bantuan Tabung Kasih@HAWANA diperluaskan kepada lebih ramai wartawan yang memerlukan.

Pihak pengurusan dan seluruh warga TV Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang serta mendoakan mereka diberi kekuatan menghadapi kehilangan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal