KUALA LUMPUR: 2 September 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dalam satu Operasi Khas yang dilaksanakan serentak di dua lokasi berasingan, iaitu di Jalan Jelawat dan Jalan Razak Mansion, pagi tadi.
Operasi bermula jam 9.40 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama tiga minggu.
Hasil serbuan, lima lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 19 hingga 41 tahun ditahan, termasuk dua individu dipercayai dalang utama.
Tiga daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan, seorang memiliki pas pelajar, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah lapan pasport Bangladesh, satu pasport India, tiga pasport Bangladesh disyaki palsu, empat pasport Indonesia disyaki palsu serta pelbagai kelengkapan membuat dokumen tiruan.

Antara barangan yang ditemui termasuk set komputer, pencetak, helaian muka surat pasport pelbagai negara, kulit pasport, kertas pelekat khas, dakwat, alat pemotong kertas, benang, telefon bimbit serta wang tunai RM2,100. Sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz yang dipercayai digunakan sindiket juga disita.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menawarkan pasport tiruan pelbagai negara termasuk Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar, Nepal, dan Indonesia.
Mereka mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM250 bagi setiap dokumen palsu yang kebanyakannya digunakan untuk tujuan pemeriksaan kesihatan FOMEMA.
Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan kediaman mewah sebagai pusat kegiatan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Kesemua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
JIM dalam kenyataannya menegaskan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara konsisten bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terpelihara, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI.
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia

