KOTA KINABALU: 1 Mei 2026 – Dalam persaingan sengit dunia fesyen tempatan, seorang pereka muda baharu dari Kota Kinabalu akhirnya mencipta pencapaian membanggakan apabila merangkul dua anugerah utama semasa majlis Sodop Pintutunan Unduk Ngadau Papar 2026, sekali gus menyerlahkan namanya sebagai pereka fesyen di Sabah.
“Akhirnya, saya diterima. Selepas beberapa percubaan dan penyertaan, kemenangan ini akan mengubah segalanya” katanya.
Jayson Johnius, atau lebih dikenali sebagai Jason Jace, membawa pulang anugerah Bazad-bazad Gaun Ohidang dan Bazad-bazad Gaun Kalaja menerusi rekaan yang dihasilkan untuk salah seorang peserta iaitu Cora, hasil kerjasama rapat bersama pengurusnya, Joe Japrin.
“Joe yang mendekati saya untuk mereka pakaian kontemporari dan pakaian kerja bagi Cora. Rekaan itu adalah hasil idea dan persetujuan bersama kami,” kata Jason.

Selain pernah menerima pengiktirafan sebagai Best Designer di GIATMARA Penampang dan Akademi Jahitan Kota Kinabalu pada 2024, Jason berkata, “Ini antara pencapaian terbesar saya setakat ini. Walaupun sebelum ini saya pernah bertanding di beberapa daerah, rezeki belum memihak kepada saya,” ujarnya.
Mengulas cabaran sepanjang proses pembikinan, Jason mengakui kekangan masa menjadi antara halangan utama, khususnya apabila perlu mengimbangi peranan sebagai pereka, jurusolek dan pengurus bakat dalam satu masa.
“Setiap rekaan memerlukan ketelitian tinggi, terutama melibatkan sulaman dan perincian halus. Ia memang mencabar, lebih-lebih lagi apabila perlu membahagikan masa dengan komitmen lain,” katanya.
Sebelum kejayaan di Papar, beliau turut menyertai pertandingan di Wilayah Persekutuan Labuan melalui kolaborasi bersama Joe Japrin, namun tidak berjaya meraih kemenangan.
Bagaimanapun, Jason tetap optimis dan merancang untuk terus aktif menyertai pelbagai pertandingan lain termasuk Unduk Ngadau Inanam, Karambunai, Unduk Ngadau UPKO serta Randawi Tavantang di Karambunai dan Ranau.
Beliau turut menyeru rakan pereka fesyen agar terus berkarya dan bersaing secara sihat demi memajukan industri fesyen Sabah.
“Kita perlu saling menyokong dan bersama-sama mengangkat industri fesyen tempatan ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Walaupun masih baharu dalam bidang ini, Jason yakin dengan potensi diri dan berazam untuk terus melangkah lebih jauh, berbekalkan sokongan kuat keluarga dan rakan-rakan.
