CALIFORNIA: 20 Ogos 2025 – Pihak berkuasa kesihatan di Amerika Syarikat memberi amaran kepada orang ramai selepas penemuan daging babi hutan berwarna biru terang di Monterey County, California. Fenomena luar biasa itu dikaitkan dengan pendedahan haiwan kepada racun tikus yang digunakan dalam sektor pertanian.
Menurut sumber media, seorang pengendali kawalan haiwan liar, Dan Burton, menemui keadaan tersebut ketika memeriksa hasil tangkapannya. Beliau mendapati otot dan lapisan lemak babi berkenaan berubah kepada warna biru menyerlah, sebelum melaporkan perkara itu kepada Jabatan Hidupan Liar dan Perikanan California (CDFW).
Siasatan awal menunjukkan warna tersebut berpunca dari bahan pewarna dalam umpan racun tikus jenis diphacinone. Racun itu berfungsi menghalang pembekuan darah pada haiwan sasaran, namun boleh memberi kesan kepada hidupan liar lain yang tidak sepatutnya terdedah.
Menurut CDFW, daging yang tercemar tidak selamat untuk dimakan kerana kandungan toksik berkenaan tidak musnah walaupun dimasak. Malah, ia berisiko menyebabkan pendarahan dalaman serta kemudaratan kesihatan yang serius.
Penemuan ini turut membangkitkan kebimbangan dalam kalangan pakar alam sekitar, memandangkan racun tersebut berpotensi memasuki rantaian makanan. Haiwan pemangsa lain, seperti burung hantu atau karnivor liar, boleh terjejas sekiranya memakan bangkai babi yang telah terdedah kepada racun.
Walaupun penggunaan diphacinone telah dihadkan di California sejak tahun lalu, ia masih dibenarkan dalam sektor tertentu termasuk pertanian dan kawalan vektor. Keadaan ini meningkatkan risiko pencemaran silang terhadap haiwan liar.
Susulan itu, CDFW menasihati pemburu dan orang awam agar memeriksa dengan teliti sebarang hasil buruan. Sebarang penemuan daging yang berwarna luar biasa, khususnya biru, hendaklah dilaporkan segera kepada pihak berkuasa dan tidak dimakan sama sekali.
Sumber: Los Angeles Times