Kota Kinabalu: Sambutan Hari Terapi Cara Kerja Sedunia 2025 peringkat Negeri Sabah telah berlangsung meriah dan berjaya, membawa tema “Occupational Therapy In Action” dengan pelbagai pengisian yang mengetengahkan kepentingan peranan profesional terapi cara kerja dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Program kendalian Unit Pemulihan Cara Kerja, Jabatan Perubatan Rehabilitasi HUMS bersama Perkhidmatan Terapi Cara Kerja JKNS ini merangkumi dua acara utama iaitu OT Sabah Team Building pada 8 November di Pantai ODEC UMS serta Majlis Perasmian pada 10 November di Pusat Minda Lestari (PML), UMS.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Dr. Mohamed Yazir Adam bin Mohd Husin, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perubatan JKNS, mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. William Gotulis. Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Prof. Madya Dr. Hajah Malehah binti Datuk Mohd Noh, Pengarah HUMS; Dr. Abdul Jabbar bin Ismail, Timbalan Pengarah Klinikal HUMS; Dr. Ridzuan Azmi, Ketua Jabatan Perubatan Rehabilitasi HUMS; Dr. Syahiskandar Sybil Shah, Ketua Kepakaran Perubatan Rehabilitasi Negeri Sabah; Puan Norashima binti Stephenus @ Ibrahim, Ketua Bidang Profession Terapi Cara Kerja Negeri Sabah; serta Pengerusi bersama OT Day 2025, Puan Frisca Aziah Francis dan Puan Voo Siew Ching.


Seramai 65 peserta melibatkan OT dari JKNS, HUMS, JPKA dan sektor swasta hadir ke sesi Team Building, manakala 250 hadirin termasuk warga OT Sabah, pempamer, keluarga, guru pengiring dan kanak-kanak memeriahkan majlis perasmian.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada JKNS dan pengurusan HUMS atas sokongan berterusan, Pusat Minda Lestari (PML) sebagai tuan rumah, Nautica Stable yang menyediakan dua ekor kuda bagi aktiviti hippotherapy, serta semua penaja yang menjayakan program berkenaan.


Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Mohamed Yazir Adam menegaskan bahawa sambutan berkenaan bukan sekadar perhimpunan profesional, tetapi sebahagian daripada usaha memperkukuh perkhidmatan rehabilitasi di Sabah selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dan Pelan Strategik Kesihatan Negeri. Beliau turut menekankan bahawa bidang Pemulihan Cara Kerja merupakan komponen penting yang memberi impak langsung kepada masyarakat — daripada kanak-kanak berkeperluan khas hingga warga emas yang memerlukan sokongan untuk mengekalkan fungsi harian.

Sambutan Hari Terapi Cara Kerja Sedunia ini terus menjadi wadah pengiktirafan kepada kontribusi Occupational Therapist dalam membina masyarakat yang lebih inklusif, sejahtera dan berfungsi.
