Lelaki Pelbagai Jenayah Bergelut Sebelum Menyerah

TAWAU: 22 Julai 2025 – Seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam beberapa siri jenayah antaranya mencuri, mencuri kenderaan, dan pecah rumah, berjaya diberkas polis dalam satu serbuan di Kampung Kuala Merotai.

Operasi dijalankan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota dari Balai Polis Bombalai selepas menerima maklumat berkaitan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian curi di sebuah gerai di Merotai Besar, kes curi motosikal serta kes pecah rumah di Kampung Kijang.

Menurut sumber polis, sebaik tiba di lokasi, pasukan penyerbu terpaksa bergelut dengan suspek yang cuba melawan sebelum berjaya ditahan.

Suspek yang berusia sekitar 27 tahun itu merupakan warga tempatan dan dipercayai telah aktif dalam kegiatan jenayah berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis merampas sebuah telefon bimbit dan satu dompet yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes-kes yang sedang disiasat.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, Seksyen 379 kerana mencuri dan Seksyen 379A kerana mencuri kenderaan bermotor.

Pihak polis memberi jaminan bahawa usaha membanteras jenayah akan diteruskan bagi memastikan keselamatan komuniti terus terpelihara.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal