Gambar ilustrasi sahaja
Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 8 Julai 2026 – Dua murid sekolah rendah didakwa menjadi mangsa buli dan serangan fizikal oleh seorang rakan sekelas dalam dua kejadian berasingan di sebuah sekolah daerah ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan dari bapa kedua-dua mangsa pada 7 Julai sebelum siasatan dijalankan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian pertama berlaku pada 6 Julai lalu apabila seorang murid perempuan berusia 12 tahun didakwa ditendang di bahagian belakang kepala oleh seorang murid lelaki yang juga rakan sekelasnya.
“Pada keesokan harinya, adik mangsa yang turut belajar di sekolah sama pula didakwa ditendang pada bahagian perut oleh murid lelaki berkenaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa perempuan mengalami sakit kepala, manakala mangsa lelaki dilaporkan mengalami trauma dan ketakutan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pengadu turut mendakwa suspek sering mengganggu kedua-dua mangsa melalui panggilan berunsur hinaan dan melakukan gangguan fizikal di dalam kelas sejak awal sesi persekolahan.
Katanya, polis kini sedang mengenal pasti identiti penuh suspek selain merakam percakapan mangsa, saksi, guru dan pihak pentadbiran sekolah untuk membantu siasatan.
“Pemeriksaan perubatan ke atas kedua-dua mangsa turut dijalankan untuk menentukan tahap kecederaan yang dialami,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk buli dan keganasan melibatkan kanak-kanak, justru akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan atau mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Movendran Apoorvasamy di talian 018-5746310 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sumber: Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran 2024

