Sandakan, 10 Julai 2025 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan cubaan penyelewengan Minyak Sawit Mentah (CPO) dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan bersama Penguatkuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), semalam.
Operasi yang berlangsung sekitar jam 3.30 petang di kawasan Ulu Dusun, Batu 30, Sandakan itu berjaya mengesan lokasi kegiatan haram berkenaan hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan.
Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa berjaya merampas sebuah lori yang membawa beberapa tangki palet IBC mengandungi kira-kira 3,000 liter minyak sawit mentah, dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM130,700.
Modus operandi sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti penyelewengan di lokasi terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Bagaimanapun, semasa serbuan dijalankan, tiada suspek berjaya ditahan kerana dipercayai melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998, dan usaha mengesan individu yang terlibat sedang giat dijalankan.
PPM Wilayah 4 Sabah dalam satu kenyataan menegaskan komitmen berterusan mereka untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan hasil negara demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Sumber, Kenyataan PPM Wilayah 4