Gambar ilustrasi sahaja
KOTA KINABALU: 3 Julai 2026 – Penganjuran Sabah MotoDay 9.0 tahun 2026 yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 September dipinda ke 12 dan 13 September 2026 untuk memberi peluang lebih ramai penyertaan peminat sukan dua roda.
Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Haji Manan dalam satu kenyataan media berkata, perubahan dibuat susulan pelbagai cadangan dan maklum balas positif peminat sukan dua roda yang mahu tarikh penganjuran diselaraskan untuk membolehkan lebih ramai peserta dan pengunjung hadir.
Beliau berkata majlis perasmian Sabah MotoDay 9.0 dijadualkan pada 13 September 2026 dan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Jelasnya, penganjuran itu mengekalkan konsep yang sama dan menjadi platform untuk menyampaikan mesej antidadah kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan komuniti peminat sukan dua roda di Sabah.
Selain itu, Sabah MotoDay 9.0 turut menyaksikan Majlis Penutupan Jerayawara Jelajah Aspirasi Bebas Dadah yang dianjurkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah bersama Skuad Dua Roda Antidadah Sabah.
Pihak penganjur menyeru semua peminat sukan dua roda hadir beramai-ramai untuk memeriahkan Sabah MotoDay 9.0 dan memanfaatkan sepenuhnya semua pengisian program.
Semua peserta dan pengunjung diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, dan sentiasa berhati-hati semasa menunggang atau memandu demi keselamatan diri bersama pengguna jalan raya yang lain.
Beliau berharap Sabah MotoDay 9.0 akan terus menjadi platform penyatuan komuniti sukan dua roda demi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya dadah, kepentingan keselamatan jalan raya dan amalan gaya hidup sihat.
Sumber: Skuad Antidadah Negeri Sabah

