Peringatan Tragedi Double Six, Pemimpin Persekutuan dijemput hadir bermula tahun depan

Share the news

KOTA KINABALU: 6 Jun 2025 – Kerajaan Sabah merancang memperluaskan peringatan Tragedi Double Six dengan kehadiran pemimpin persekutuan dan juga para pelajar universiti bermula tahun depan sempena hari peringatan Tragedi Double Six ke-50.

Cadangan ini dikemukakan sempena ulang tahun ke-49 nahas udara 1976 itu, peristiwa yang paling penting dalam sejarah politik Sabah selepas kemerdekaan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata generasi muda dan pemimpin negara boleh membantu mendalamkan lagi pemahaman masyarakat tentang impak berpanjangan selepas tragedi tersebut.

“Saya telah berbincang dengan beberapa pemimpin (yang hadir hari ini) bahawa jemputan juga seharusnya diberikan kepada golongan belia dari sekolah dan university untuk upacara peringatan ini,” katanya ketika ditemui selepas upacara meletakkan kalungan bunga, hari ini.

Ellron berkata, usaha seperti itu bertujuan memastikan generasi-generasi seterusnya mengingati fakta sejarah mengenai tragedi itu.

Pada 6 Jun 1976, kesemua 11 orang barisan kepimpinan tertinggi Sabah yang menaiki pesawat GAF Nomad terbunuh apabila pesawat itu terhempas ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang, Kota Kinabalu. Mereka yang terkorban ialah Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens; Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Peter Majuntin; Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Chong Thien Vun; Menteri Kewangan,  Datuk Salleh Sulong; Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Darius Binion; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Wahid Peter Andau; Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sabah, Dr Syed Hussein Wafa; Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia, Ishak Atan; Pengawal peribadi kepada Tun Fuad, Koperal Said Mohammad; Juruterbang, Gandhi J Nathan dan Johari Tun Fuad Stephen.

Nahas itu kekal sebagai detik yang amat emosional dan tanda tanya kepada rakyat Sabah; apakah puncanya, dan mengapa tragedi yang dashyat menimpa kepimpinan Sabah setelah bersama-sama membentuk Malaysia?

“Satu pertanyaan sehingga sekarang yang belum terjawab ialah, sekiranya tidak terjadi malapetaka Double Six itu, apa yang terjadi kepada politik negeri Sabah, mungkin bukan seperti sekarang ini,” kata Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia.

Terlebih dahulu beliau memberi kenyataan media bahawa Tanjung Aru Eco Development yang dipengerusi oleh beliau sendiri, mempunyai rancangan pembangunan semula Prince Philip Park. Dalam rancangan itu katanya, mereka akan memasukkan memorial itu bersama-sama dengan sejarah-sejarah negeri Sabah termasuklah membina replika kapal terbang, batu sumpah, dan perbarisan 31 Ogos sejarah kemerdekaan Sabah. Kos pembinaan itu termasuk dalam kos keseluruhan pembinaan semula Prince Philip Park yang berjumlah RM35 juta.

“Walau bagaimanapun, sementara kita mengiktiraf Memorial Double Six Sembulan di tapak sebenar kemalangan tersebut, kita juga menyokong usaha memiliki aset lain sebagai sokongan atau pelengkap di sekitar kawasan ini, supaya lebih ramai orang akan mengetahui tentang Double Six dalam konteks era tersebut – kerana berdasarkan penyelidikan saya, insiden Double Six merupakan insiden penting yang telah mengubah haluan sejarah di Sabah,” kata Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin menyempurnakan majlis tersebut bagi pihak Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Jeffrey G Kitingan, bersama-sama Pengarah DBKK, Lifred Wong.

Antara yang hadir ialah Datuk Phoong Jin Zhe, Datuk Mustapha Sakmud, Datuk Richard Yong We Kong, Datuk Peto Galim, dan Datuk Tan Lee Fatt.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal