oleh David E.
Sabah mahu jadi pemain aktif ekonomi tenaga serantau – Masidi
KOTA KINABALU: Sabah mahu menjadi pemain aktif dalam ekonomi tenaga serantau, bukan sekadar pautan geografi dalam grid tenaga.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, berkata tenaga bukan sekadar soal jumlah elektrik yang dijana. Ia berkait rapat dengan pembangunan ekonomi, daya saing pelaburan dan kualiti hidup rakyat.
“Kita tidak boleh bercakap serius mengenai perindustrian atau pekerjaan bergaji lebih baik jika tidak mampu menjamin bekalan elektrik yang stabil dan berpatutan,” katanya ketika merasmikan Bengkel Pelaburan Tenaga dan Kesalinghubungan Serantau Sabah di Hilton Hotel, hari ini.
Beliau mengakui Sabah berdepan cabaran lama dalam bekalan elektrik, terutama di pantai timur dan luar bandar. Namun, sejak mengambil alih kuasa kawal selia elektrik pada Januari 2024, margin rizab penjanaan negeri meningkat dari lapan peratus ke 19 peratus setakat Ogos lalu.
Masidi berkata sambungan grid Sarawak-Sabah yang beroperasi Disember lalu membuktikan manfaat kerjasama sebenar. Penambahan kapasiti, katanya, tidak mencukupi jika elektrik gagal dihantar dengan cekap ke kawasan memerlukan.
Beliau menyifatkan kedudukan strategik Sabah antara Sarawak, Kalimantan dan selatan Filipina membuka peluang sambungan tenaga rentas sempadan, termasuk Borneo Grid.
“Kesalinghubungan serantau mesti membawa manfaat ekonomi nyata, meningkatkan keselamatan tenaga dan mempunyai logik komersial. Ia juga mesti melengkapi, bukan mengorbankan, kepentingan pengguna Sabah,” katanya.
Beliau turut menyentuh potensi tenaga bersih negeri termasuk solar, hidro dan geoterma. Namun, pendekatan perlu realistik dari segi kematangan komersial dan kemampuan kos.
Masidi berharap kerjasama dengan Asian Development Bank (ADB) melangkaui pembiayaan infrastruktur. Ia perlu merangkumi pembinaan kapasiti dan pengukuhan institusi tempatan.
“Pelaburan harus mencipta aktiviti ekonomi dan membangunkan kepakaran tempatan. Sabah mahu syarikat dan jurutera tempatan lebih banyak terlibat supaya rakyat tidak hanya menjadi penonton kepada pelaburan di negeri sendiri,” katanya.
– TV Sabah
