Bermula 1 Julai, bukan warganegara tidak lagi nikmati subsidi diesel

8eea29e6 2554 470c bcfd b3fdc7021440

KOTA KINABALU: 23 Jun 2026 – Subsidi diesel hanya akan dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak menerusi pengesahan MyKad apabila pelaksanaan penuh program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bermula 1 Julai ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu turut membolehkan harga diesel bersubsidi diturunkan kepada RM2.10 seliter berbanding RM2.15 seliter ketika ini di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, langkah itu memastikan golongan bukan warganegara dan pihak yang tidak layak tidak lagi menikmati subsidi diesel kerajaan, sekali gus mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan bahan api.

“Melalui BUDI Diesel, subsidi kini hanya diberikan kepada rakyat Malaysia yang layak melalui pengesahan MyKad.

“Penjimatan hasil usaha menutup ruang ketirisan dan mengekang penyeludupan membolehkan Kerajaan MADANI menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel (Negeri Sabah) di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Selasa.

Menurutnya, mulai 1 Julai 2026, harga diesel di pam akan ditetapkan pada paras tanpa subsidi, manakala subsidi kerajaan hanya akan disalurkan kepada penerima yang layak melalui sistem pengesahan MyKad.

Di bawah pembaharuan itu, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan yang boleh digunakan untuk membeli bahan api bersubsidi termasuk RON95 dan diesel.

Data kerajaan menunjukkan hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan, menjadikan had tersebut mencukupi untuk majoriti pengguna.

Mengambil kira keadaan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang lebih bergantung kepada penggunaan kenderaan pikap dan jip, pemilik kenderaan kategori itu boleh memohon tambahan 100 liter sebulan, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

Berdasarkan data penggunaan semasa, dianggarkan 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.

Kerajaan MADANI turut mengambil kira keperluan kumpulan lain termasuk pengusaha bot sungai, pemilik genset di kawasan pedalaman dan individu yang bergantung kepada diesel untuk mata pencarian harian.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan sedang memuktamadkan mekanisme khusus bagi memastikan kumpulan berkenaan terus menerima bantuan yang bersesuaian.

Untuk Sabah, Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan Kerajaan Sabah dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) untuk mendapatkan dan memuktamadkan data penerima yang layak, termasuk pengusaha dan pengguna bot yang memerlukan diesel bersubsidi.

Beliau turut mengadakan lawatan ke sebuah stesen minyak di Tuaran untuk meninjau kesiapsiagaan operasi menjelang pelaksanaan penuh BUDI Diesel pada 1 Julai depan.

Antara aspek yang diberi perhatian termasuk kelancaran sistem pengesahan MyKad, kesiapsiagaan petugas stesen minyak dan keupayaan proses transaksi di pam.

Menurutnya, hasil tinjauan bersama syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak mendapati persiapan operasi berada pada tahap yang baik.

Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Sabah, syarikat minyak, pengusaha stesen minyak dan agensi pelaksana demi memastikan pelaksanaan BUDI Diesel berjalan lancar dan manfaat subsidi sampai kepada rakyat Malaysia yang layak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal