Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 12 September 2026 – Selepas 16 tahun meninggalkan dunia rakaman, penyanyi dan penyampai radio ERA Sabah, Emma Suhaimi kembali dengan single terbaharunya, “Tersakiti”, yang mengangkat kisah luka dan pengalaman kehidupan yang dekat dengan pendengar.
Bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu berkata, lagu berkenaan bukan hanya berkisar mengenai hubungan percintaan, sebaliknya boleh dikaitkan dengan pelbagai situasi termasuk keluarga, kerjaya dan kehidupan seharian.
“Saya mau lagu ini jadi suara kepada orang yang mengalami cerita-cerita yang begitu, tapi dia tidak bercerita kepada orang. Biar lagu ini berbicara,” katanya ketika ditemui di Studio TV Sabah, semalam.
Menurut Emma, proses rakaman lagu berkenaan turut mencabar apabila beliau mengambil masa kira-kira dua bulan untuk membiasakan diri dengan emosi lagu sebelum menjalani rakaman di Indonesia.
“Sekali saya feel into the song, saya susah berhenti pula,” tambahnya.
Menurutnya, “Tersakiti” mencatatkan lebih 7,000 penggunaan di media sosial dalam tempoh tiga minggu, selain menerima versi karaoke, cover dan techno.
Emma berkata, sambutan tersebut di luar jangkaannya dan berharap peminat terus menyokong karya berkenaan menerusi platform penstriman digital.
Selepas “Tersakiti”, Emma tidak mahu menunggu terlalu lama untuk menghasilkan karya baharu, malah merancang melancarkan single seterusnya kira-kira setiap tiga bulan.
“Mungkin selepas tiga bulan akan keluar lagi lagu yang terbaru. Lepas tiga bulan keluar lagi, sampai saya boleh buat satu mini album dan proper showcase untuk Emma Suhaimi.”
Sementara itu, Emma mengakui masih berdepan rasa gementar selepas kembali menghasilkan karya sendiri, terutama memikirkan penerimaan pendengar terhadap lagu tersebut.
Beliau berkata, selepas melalui tempoh panjang dalam industri, apa yang penting kini ialah berani menghasilkan karya yang benar-benar mewakili dirinya.
Emma turut menitipkan pesanan kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar agar tidak mencari jalan pintas untuk mengubati kesedihan.
“Tidak ada shortcut untuk mengubati kesedihan dan kepedihan, tapi kamu boleh jalani untuk terus menjadi insan yang lebih kuat,” ujarnya.

