Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU, 29 Julai 2026 – Warga Indonesia di Sabah digesa supaya patuh undang-undang dan menghormati adat budaya tempatan. Langkah ini penting untuk menjamin keselamatan, keharmonian, dan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.
Konsul Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin, berkata pihak konsulat sentiasa memberi penerangan kepada rakyat Indonesia tentang kepentingan mematuhi peraturan kerajaan negeri dan persekutuan sepanjang berada di Sabah.
Menurutnya, usaha itu adalah tanggungjawab utama konsulat untuk memberi perkhidmatan dan perlindungan kepada warganegara Indonesia di Sabah.
“Memang itulah fungsi utama kami, iaitu memberi perkhidmatan dan perlindungan kepada warganegara Indonesia,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat ke Istana Seri Kinabalu pada Selasa.

Dino turut menghargai kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Pemerintah Indonesia dalam menyediakan Community Learning Center (CLC) sejak 2011. Program itu membolehkan anak-anak pekerja Indonesia mendapat akses pendidikan.
“CLC juga memberi manfaat kepada syarikat kerana pekerja menjadi lebih produktif,” tambahnya. Tiga syarikat menyediakan CLC ketika ini, iaitu Sabah Softwoods Berhad, Benta Wawasan Sdn. Bhd., dan Sawit Kinabalu.
Kunjungan hormat itu juga bertujuan memaklumkan pelantikan beliau sebagai Konsul baharu di Tawau, berkuat kuasa 9 Julai lalu. Beliau menggantikan Aris Heru Utomo yang bersara.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah menerusi Program Smart Sabah yang membantu pekerja asing dan keluarga mereka mendapatkan dokumen lengkap. Program ini membolehkan mereka bekerja secara sah di Sabah.
Menurut Dino, pekerja perlu memiliki pasport Indonesia sebelum permit tinggal dan permit kerja diproses melalui Program Smart Sabah mengikut syarat ditetapkan.
Rekod konsulat menunjukkan 120,000 warga Indonesia berdaftar dalam pangkalan data mereka. Jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi kerana kedudukan sempadan dan ramai warga Indonesia menetap di kawasan Pantai Timur Sabah, termasuk Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, dan Kalabakan.
Sumber: JAPEN

