TELUPID: 14 Mei 2026 – Selepas hampir sedekad mencuba nasib di pentas Sugandoi, penyanyi dari Kampung Telupid, Alvein Dee Albenus, menamatkan penantian panjang setelah diumumkan sebagai Johan Sugandoi Kaamatan Daerah Telupid 2026, malam tadi.
Alvein, 33 tahun, sejak 2012, sudah sembilan kali menyertai pertandingan yang sama dan pernah memenangi tempat ketiga dan naib juara, melihat kemenangan itu sebagai amat bermakna.
Sebagai Penyelaras Projek Harmoni Gajah-Manusia Forever Sabah menerusi Community Elephant Ranger Team Telupid, beliau langsung tidak menyangka mampu bergelar juara kerana saingan kali ini antara paling sengit pernah dihadapi.
Menurutnya, penyertaan peserta muda, terutamanya golongan remaja, memberi cabaran besar dari segi mental dan persaingan vokal.
“Saya tidak menjangka boleh menang kerana persaingan sangat sengit. Kini peserta seawal umur 13 tahun pun sudah boleh menyertai Sugandoi terbuka.
“Bersaing dengan suara generasi muda memberi tekanan yang agak besar kepada saya. Namun, saya anggap ia satu cabaran untuk terus memperbaiki diri,” katanya selepas pertandingan akhir.
Pada persembahan akhir, Alvein memilih lagu Minomogonop Koposizon Ku nyanyian Bandi Pijolin sebagai lagu solo, sesuai dengan julat vokalnya.
Lagu medley Mongguyu dan Sunduan Do Nabalu pula dipilih untuk mencabar kemampuannya kerana beliau mahu tampil dengan pendekatan berbeza berbanding penyertaan sebelumnya.
“Saya mahu keluar dari zon selesa supaya orang dapat melihat sisi berbeza dalam persembahan saya,” katanya.
Menurut Alvein, cabaran terbesar sepanjang persiapan pertandingan ialah faktor kewangan dan kesihatan namun beliau tetap meneruskan latihan secara konsisten demi persembahan terbaik.

Sejak tahun lalu, Alvein aktif mengikuti kelas vokal, bengkel vokal, dan bengkel penjurian nyanyian, dan juga menjalani latihan nyanyian secara kendiri setiap minggu untuk memperkukuhkan teknik persembahan.
Mengulas persiapan ke peringkat negeri, Alvein hanya memberi tumpuan kepada persediaan fizikal dan mental untuk membawa cabaran daerah Telupid sebaik mungkin.
“Prestasi Telupid tahun lalu menjadi cabaran besar untuk saya tahun ini. Saya percaya kepada rezeki dan akan berusaha sebaik mungkin supaya Telupid sekali lagi mara ke peringkat akhir,” katanya.
Alvein mengakui kejayaannya tidak mungkin dicapai tanpa sokongan keluarga, rakan Sugandoi, teman sepelayanan, guru vokal, rakan sekolah, dan rakan sekerja yang sentiasa memberi semangat sepanjang perjalanan seninya.
