KUALA LUMPUR: 14 Mei 2026 – Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Vijay atas pemilihannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata, rakyat Tamil Nadu kini memberikan tanggungjawab lebih besar kepada Vijay selepas sekian lama dikenali menerusi watak yang menewaskan ahli politik korup dan penjahat di layar perak.
“Malaysia dan Tamil Nadu berkongsi hubungan sejarah, budaya dan hubungan rakyat yang mendalam sejak beberapa generasi.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Ketua Menteri Vijay pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Perdana Menteri turut menyentuh slogan “Oru Viral Puratchi” atau “revolusi satu jari” yang menurutnya kini berada di ambang mencipta sejarah.
Sementara itu, Vijay menzahirkan penghargaan atas ucapan tahniah daripada Anwar.
“Berbesar hati menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya komited untuk memupuk kerjasama lebih erat dan memperkukuh hubungan persahabatan antara Tamil Nadu dan Malaysia,” katanya.
