Farahzidah Husrin wakili Beluran ke Sugandoi Negeri 2026

Gambar Juara Sugandoi Beluran

BELURAN: 8 Mei 2026 – Selepas tiga tahun konsisten bersaing dalam arena Sugandoi, Farahzidah Husrin akhirnya berjaya dinobatkan sebagai juara Sugandoi Daerah Beluran 2026, pada 6 Mei.

Penyanyi berusia 26 tahun itu sebelum ini muncul sebagai naib juara pada 2024 dan meraih tempat ketiga pada edisi 2025 sebelum menjadi juara.

Farahzidah, yang kini bekerja secara sambilan sebagai penyanyi latar bersama Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil pengorbanan, disiplin dan semangat untuk terus memperbaiki diri.

Namun pada masa yang sama Farahzidah berkata, “Dalam fikiran saya, saya cuma mahu beri persembahan terbaik. Soal menang atau kalah saya letakkan di belakang.”

Pada pertandingan itu, Farahzidah mempertaruhkan dua lagu iaitu Upusnu nyanyian Eylia Guntabid dan Tangon II oleh Dabra Sia, yang menurutnya sangat sesuai dengan kekuatan vokal dan gaya penyampaiannya.

image 14
Persembahan bertenaga daripada Farahzidah pada pertandingan akhir Sugandoi daerah Beluran 2026. Foto – Frandy Lim

“Saya memilih lagu ini kerana saya rasa ia dekat dengan suara dan emosi saya ketika menyanyi,” jelasnya.

Bagaimanapun, perjalanan menuju kemenangan bukan sesuatu yang mudah dan mengakui cabaran utama sepanjang persiapan ialah kekangan masa, kerana perlu berulang alik antara Beluran dan Kota Kinabalu untuk bekerja sambil membuat persiapan pertandingan.

“Memang penat sebab perlu bahagi masa antara kerja dan latihan, tetapi saya bersyukur semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Walaupun tidak mengikuti kelas vokal secara profesional, Farahzidah tetap berusaha memperbaiki teknik nyanyian dan penguasaan bahasa dengan bantuan rakan-rakan.

“Saya banyak berlatih dengan kawan-kawan Dusun untuk menghalusi sebutan dan cara penyampaian lagu,” ujarnya.

Kini, fokusnya terarah kepada persiapan menghadapi Sugandoi peringkat negeri di KDCA bersama pasukan Sugandoi Beluran.

Menurutnya, perbincangan masih dilakukan untuk menentukan sama ada akan mengekalkan lagu yang sama atau dalam versi gubahan baharu.

Ketika ditanya wartawan TV Sabah mengenai kejuaraan Beluran di pentas negeri pada tahun 2025, beliau tidak menafikan tekanan yang akan dihadapi.

“Saya tahu ramai rakyat Beluran berharap saya dapat mempertahankan kejuaraan. Tekanan itu memang ada, tetapi ia juga menjadi pembakar semangat untuk saya buat yang terbaik,” katanya.

Selain merangkul gelaran juara, Farahzidah turut membawa pulang pengiktirafan Vokal Terbaik, sekali gus membuktikan kemampuan vokalnya yang semakin menyerlah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal