LAHAD DATU : 6 Mei 2026 – Pengukuhan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) bukan sahaja melindungi rakyat, malah membuka peluang ekonomi baharu khususnya di kawasan bandar sempadan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh keselamatan ESSZone menerusi penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), dron, radar dan analisis data raya.
Katanya, langkah itu penting untuk memastikan kestabilan keselamatan yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan keyakinan pelabur.
“Pengukuhan keselamatan bukan sahaja melindungi rakyat, tetapi membuka ruang kepada pembangunan bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Sabah Maju Jaya (SMJ) sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke ESSZone di Dewan Perdana, pada Rabu.
Menurutnya, Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer selain menjadi barisan hadapan negara di Borneo dan Laut Sulu.
Katanya, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu di bawah SMJ 2.0 meliputi industri perikanan moden, pelancongan marin dan pembangunan bandar pesisir dan sempadan.
Hajiji berkata, Lahad Datu mempunyai potensi besar dalam sektor perladangan, perikanan, pelancongan dan industri hiliran.
“Namun, semua ini hanya dapat direalisasikan sekiranya persekitaran terus selamat dan stabil. Pelabur hanya akan datang jika yakin keselamatan perairan kita terjamin,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat khususnya di kawasan ESSZone supaya segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Peranan komuniti amat penting sebagai rakan strategik kepada pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan terus terpelihara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kebajikan anggota keselamatan akan terus dipelihara melalui kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk dari segi kemudahan, perumahan dan logistik.
