Dedah potensi komoditi global kepada 280 peserta kursus halia

Kebun Dapur Halia Moden 060526

KENINGAU: 6 Mei 2026 – Seramai 280 peserta Kursus Sehari Penanaman Halia Fertigasi Kaedah Moden yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kolam Resort Keningau (KRK) hari ini, kini lebih memahami potensi sebenar halia sebagai komoditi global yang bernilai tinggi, bukan sekadar tanaman sampingan dapur.

Para peserta didedahkan dengan perkongsian dan pengalaman sebenar dari pengusaha berjaya yang telah membuktikan bahawa permintaan terhadap halia di pasaran antarabangsa terus menunjukkan peningkatan drastik.

Halia bukan sahaja menjadi bahan asas dalam seni masakan, malah kini menjadi buruan utama industri farmaseutikal dan kesihatan. Keberkesanannya dalam penghasilan produk perubatan berkualiti tinggi menjadikan nilai pasaran halia semakin kompetitif dan mahal.

691072724 122111274344914845 1766659904796854350 n

Kiri, Calvin Chin sedang memberi taklimat. Kanan, Victor.

Sifu Halia, Calvin Chin, pakar penanaman yang mengetuai sesi latihan, berkongsi pengalaman luas dan pendekatan praktikal dalam pengeluaran halia bernilai tinggi. Beliau menekankan teknik penanaman secara fertigasi yang lebih efisien, sistematik dan berdaya hasil.

Taklimat dan Kursus Penanaman Halia Moden yang dibiayai sepenuhnya oleh Parlimen Keningau ini merupakan sebahagian daripada Program Kebun Dapur. Program ini dianjurkan oleh P.180 Keningau dan Persatuan Komuniti Wanita Sabah (PKWS) dengan kerjasama Golden Agro Farm Land Sdn Bhd sebagai rakan pelaksana dan konsultan teknikal.

Menurut penganjur, pendekatan latihan berasaskan amalan praktikal bertujuan meningkatkan kemahiran peserta dan membuka ruang kepada mereka untuk menceburi pertanian moden secara lebih mampan dan berdaya saing.

688322066 122111274134914845 3233401735661037724 n

Sebahagian peserta Program.

Penyertaan yang melepasi sasaran awal antara 200 hingga 250 peserta mencerminkan minat tinggi komuniti luar bandar terhadap pertanian moden sebagai sumber pendapatan alternatif. Peserta terdiri daripada golongan wanita, termasuk ibu tunggal, belia luar bandar dan komuniti berpendapatan rendah, selaras dengan usaha memperkasa ekonomi isi rumah menerusi pendekatan kebun dapur.

Kursus ini merupakan siri ke-120 yang telah dianjurkan, membuktikan komitmen berterusan dalam memacu agenda ekonomi rakyat. Program ini diiktiraf sebagai antara inisiatif pembangunan ekonomi setempat yang paling berkesan kerana menyentuh terus akar umbi melalui peningkatan pendapatan dan pengukuhan ekonomi komuniti.

689477209 122111273702914845 445647384324579654 n

Sementara itu, Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan menekankan penglibatan anak muda dan menyeru golongan belia supaya tidak berhijrah ke luar negara. Beliau menggalakkan mereka memanfaatkan potensi pertanian moden di tanah air yang mampu menawarkan pulangan lebih lumayan jika diusahakan dengan penuh kesungguhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal