KENINGAU: 13 April 2025 — Usaha memperkasa wanita melalui kemahiran keusahawanan terus diperkukuh menerusi projek komuniti Slices of Care anjuran Program Bakeri dan Pastri Kolej Vokasional (KV) Keningau.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 April 2026 itu dilaksanakan dengan sokongan dana sebanyak RM3,000 dari badan kebajikan CHANGE.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, berkata inisiatif berkenaan merangkumi bengkel latihan praktikal yang diikuti dengan sesi jualan sebagai platform awal peserta mempraktikkan kemahiran perniagaan yang dipelajari.

Menurutnya, seramai 10 peserta telah dipilih untuk menyertai program ini, melibatkan latihan penghasilan pelbagai jenis kuih tradisional dan moden seperti Pandan Gula Merah, Kuih Kaswi dan tart telur.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama usahawan tempatan, Haryati Azmi @ Egang, pemilik Tielief Cake’s Bakery yang bertindak sebagai jurulatih utama. Penglibatan beliau memberi nilai tambah kepada latihan yang dijalankan, khususnya dari segi pendedahan kepada pengalaman sebenar dalam bidang keusahawanan bakeri.
Pelaksanaan projek itu dikendalikan oleh pasukan pelajar Bakeri dan Pastri KV Keningau, iaitu Nurul Fitriyani Izwani Abdul Mutalip, Nurul Nabilah Batrisyia Abd Karim, Szusheny Larroza dan Nur Aleysa Felix @ Mohd Fahmey dengan bimbingan guru mereka, Syafiqah Eugene.
Kemuncak program menyaksikan penganjuran pasar jualan pada 13 April yang memberi peluang kepada peserta memasarkan produk mereka secara langsung kepada orang ramai. Inisiatif ini akan diteruskan dengan penganjuran pasar jualan berskala lebih besar yang dijadualkan berlangsung pada 20 Mei 2026.

Secara keseluruhannya, projek Slices of Care bukan sahaja memberi pendedahan kemahiran teknikal kepada peserta, malah membuka ruang kepada mereka untuk berdikari melalui bidang keusahawanan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.
