Hanya minuman tradisi di rumah tradisi, 12 pembaharuan Kaamatan 2026 diperkenalkan

WhatsApp Image 2026 04 14 at 14.43.37

KOTA KINABALU: 14 April 2026-Tiada penjualan atau penghidangan minuman beralkohol dibenarkan di semua Rumah Tradisi sepanjang rumah terbuka Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Kompleks KDCA pada 30 dan 31 Mei ini.

Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, hanya minuman tradisional akan disediakan di Rumah Tradisi sepanjang tempoh rumah terbuka tersebut.

WhatsApp Image 2026 04 14 at 14.43.27
Pengerusi bersama Sidang Media Mesyuarat Jawatan Kuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan

“Minuman beralkohol lain hanya dibenarkan di luar kawasan Rumah Tradisi,” katanya pada sidang media Pelancaran Pesta Kaamatan 2026 di Dewan Tan Sri Pairin, Hongkod Koisaan KDCA, hari ini.

Beliau berkata, rumah terbuka di semua Rumah Tradisi akan berlangsung pada 30 dan 31 Mei dari jam 11 pagi hingga 2 petang.

“Pesta Kaamatan 2026 akan dilancarkan pada 1 Mei di Papar, manakala kemuncak sambutan pada 30 dan 31 Mei di Kompleks KDCA,” Tambahnya.

Perdana Menteri dijangka hadir pada 30 Mei, manakala Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 31 Mei.

Menurutnya, selepas pelancaran di Papar, sambutan Kaamatan akan diteruskan di peringkat daerah, daerah kecil dan beberapa lokasi komuniti Kadazandusun Murut di Kuching, Lembah Klang, Putrajaya dan Pulau Pinang.

WhatsApp Image 2026 04 14 at 14.43.56
Mesyuarat Jawatan Induk (MOC) Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026

Dalam pada itu, 12 pembaharuan utama diperkenalkan bagi penambahbaikan penganjuran tahun ini.

Antaranya, Kaunter Informasi Kaamatan akan dibuka dari 15 hingga 31 Mei bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat program dan budaya etnik Sabah.

Perkhidmatan bas shuttle oleh penaja Barbarian Reborn turut disediakan pada 30 dan 31 Mei bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di KDCA, melibatkan laluan KDCA–IMAGO dan Suria Sabah–KDCA.

Skrin LED tambahan turut dipasang di kawasan KDCA bagi membolehkan orang ramai menonton siaran langsung acara di Dewan Hongkod.

Penganjur turut mengemukakan permohonan kepada Malaysian Book of Records bagi pengiktirafan Pesta Kaamatan sebagai perayaan pesta menuai terpanjang di Malaysia.

Dari segi infrastruktur, penambahbaikan dilakukan di rumah-rumah tradisi dan tapak pameran agensi kerajaan untuk keselesaan pengunjung dan pempamer.

Persembahan dan pameran tradisional akan dilaksanakan mengikut jadual di setiap Rumah Tradisi.

Pertandingan Kecemerlangan Pengurusan Rumah Tradisi akan diadili oleh MOTAC, Lembaga Pelancongan Sabah dan Tourism Malaysia berdasarkan piawaian antarabangsa.

Bagi Unduk Ngadau, sesi pra-penjurian akan diadakan pada 30 Mei sebelum 25 peserta terbaik dipilih ke peringkat akhir pada 31 Mei.

Sementara itu, Jawatankuasa Hiis dan Manangon digabungkan, dengan pertandingan Momohiis, Manangon dan Mongoroisol dijadualkan pada 16 Mei.

Randawi Tawantang Kaamatan (RTK) pula akan dipersembahkan semasa pelancaran di Papar dan turut diperluaskan ke Sarawak serta program pertukaran budaya ke Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal