MACP perkenal garis panduan AI perkukuh hak cipta karya muzik manusia

Gambar MACP

KUALA LUMPUR: 4 Mac 2026 – Industri muzik tempatan memasuki dimensi baharu apabila Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP) memperkenalkan Garis Panduan Kecerdasan Buatan (AI) yang menetapkan hanya karya dihasilkan sepenuhnya oleh manusia layak menerima perlindungan hak cipta dan pembayaran royalti.

Pengumuman rasmi pada 3 Mac 2026 itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memastikan kepentingan komposer dan penulis lirik tempatan terus terpelihara ketika teknologi AI semakin meluas digunakan dalam proses penciptaan muzik. MACP menegaskan bahawa hak cipta berpaksikan kreativiti dan usaha intelektual manusia, justeru karya yang dijana sepenuhnya atau sebahagiannya menggunakan AI tidak akan didaftarkan di bawah pengurusannya.

Menurut badan pengurusan kolektif itu, garis panduan berkenaan dirangka bagi mengekalkan kestabilan ekosistem muzik negara dalam kerangka undang-undang sedia ada, di samping menangani isu baharu berkaitan pemilikan, penggunaan dan pampasan karya dalam era digital.

Di peringkat nasional, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI sedang digubal bagi memastikan akauntabiliti dan etika dalam penggunaan teknologi tersebut. MACP menyatakan sokongan terhadap inisiatif itu dan bersedia memberikan input, khususnya dalam aspek perlindungan hak cipta muzik.

Bagi memastikan pelaksanaan yang telus, MACP memperkenalkan mekanisme pengesahan mandatori melalui portal ahli “myKarya”. Setiap ahli perlu mengesahkan bahawa karya yang didaftarkan adalah hasil ciptaan asli manusia dan tidak dijana oleh AI. Sebarang pengisytiharan palsu boleh mengakibatkan pembatalan pendaftaran serta penahanan pembayaran royalti.

Selain itu, MACP turut memberi peringatan bahawa mana-mana pihak termasuk syarikat AI yang ingin menggunakan karya dalam repertoir mereka bagi tujuan latihan atau penjanaan kandungan perlu mendapatkan kebenaran bertulis dan memeterai perjanjian lesen terlebih dahulu. Penggunaan tanpa izin dianggap sebagai pelanggaran hak cipta dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Pendirian ini selari dengan penegasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali bahawa di bawah Akta Hak Cipta 1987, perlindungan hanya diberikan kepada karya yang terhasil dari usaha manusia.

Sebagai anggota kepada International Confederation of Societies of Authors and Composers (CISAC), MACP menegaskan komitmennya untuk memastikan perlindungan hak cipta muzik tempatan kekal sejajar dengan piawaian antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan pencipta Malaysia dalam landskap industri global yang semakin dipacu teknologi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal