KOTA KINABALU: 30 April 2026 – Pertandingan Sugandoi kategori terbuka kini memperluaskan had umur penyertaan kepada 13 hingga 59 tahun, satu langkah yang dilihat mampu memberi ruang lebih luas kepada bakat muda untuk menyerlah di pentas utama.
Pengerusi Sugandoi Negeri, Tindarama Datuk Evaristus Gungkit berkata, perubahan itu dibuat untuk mengatasi kekangan penyertaan dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 16 tahun yang sebelum ini tidak mempunyai platform dalam pertandingan Sugandoi di peringkat negeri.
Menurutnya, walaupun golongan tersebut boleh menyertai kategori seperti Dazanak, ramai dalam kalangan mereka sebenarnya mempunyai kemampuan vokal yang setanding dengan peserta lebih dewasa.
“Kita melihat ramai peserta dalam lingkungan umur ini berpotensi dan mampu bersaing dengan mereka yang berusia 17 tahun ke atas, walaupun terdapat perbezaan dari segi tona dan kematangan suara,” katanya.
Beliau memaklumkan, cadangan peluasan had umur itu telah dipersetujui oleh semua Pengerusi Sugandoi Daerah (PSD) melalui mesyuarat yang diadakan secara dalam talian, namun pelaksanaannya masih tertakluk kepada keputusan di peringkat daerah masing-masing.
Penganjur turut membenarkan penggunaan lagu saduran, iaitu lagu bahasa asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa Kadazandusun Murut Rungus (KDMR). Namun, peserta diingatkan bahawa sebarang isu berkaitan hak cipta adalah tanggungjawab sendiri.
Untuk kategori Dazanak, peserta diberikan kelonggaran untuk mempersembahkan lagu kedua dalam bentuk medley pada edisi tahun ini, sebagai usaha menambah variasi persembahan.
Mengulas penggunaan teknologi, beliau berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam susunan muzik dibenarkan, namun menegaskan bahawa vokal mesti asli dan tidak dijana oleh AI.
Selain itu, masa pertandingan akhir untuk ketiga-tiga kategori turut diselaraskan bermula jam 2 petang, berbanding sebelum ini yang diadakan pada waktu malam dan sering berlarutan hingga lewat.
Untuk peringkat akhir kategori terbuka, format pertandingan menetapkan persembahan lagu wajib dan lagu kedua dalam bentuk medley, manakala keputusan mengenai keperluan lagu ketiga masih belum dimuktamadkan.
