KOTA KINABALU: 27 Mei 2026 – Perkhidmatan bas shuttle khas disediakan pada 30 dan 31 Mei ini, dari jam 10 pagi hingga 10 malam, untuk memudahkan pergerakan pengunjung ke KDCA sempena kemuncak Pesta Kaamatan 2026.
Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Pengerusi Pesta Kaamatan, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, inisiatif ini bertujuan melancarkan trafik dan mengurangkan kesesakan di sekitar KDCA yang dijangka menerima jumlah pengunjung sangat ramai.
“Kita berharap pengunjung menggunakan kemudahan yang disediakan dan menjaga keselamatan diri dan pengunjung lain kerana jumlah kehadiran dijangka sangat ramai,” katanya dalam sidang media di Hotel Marriott.
Beliau turut menekankan perpaduan dalam kepelbagaian: “Kita di Sabah mempunyai banyak etnik dan semua harus diraikan bersama. Jangan disebabkan sedikit perbezaan, ia memisahkan antara satu sama lain.”
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan 2026 dan menikmati pelbagai aktiviti kebudayaan sepanjang festival berlangsung.
