KOTA KINABALU: 21 Februari 2026 – Rebat RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar yang layak merupakan usaha meringankan beban bil elektrik untuk ramai keluarga yang berdepan cabaran kos sara hidup demi memelihara kesejahteraan rakyat.
Bagi seorang ibu tunggal di pedalaman Sabah, rebat ini bukan sekadar angka di atas bil tetapi memberi ruang untuk membeli barangan dapur tambahan, menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak, dan memastikan lampu terus menyala pada waktu malam untuk mereka belajar dengan selesa.
Program Rebat Bil Elektrik RM40 adalah program khusus kepada kumpulan sasar miskin tegar berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan rakyat.
Penerima yang layak adalah Ketua Isi Rumah yang tersenarai dan disahkan di bawah kategori miskin tegar dalam Sistem eKasih.
Pengguna yang berdaftar dengan eKasih boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Sabah Electricity www.sesb.com.my
Rebat RM40 ini dikreditkan secara automatik ke dalam bil elektrik pengguna yang tersenarai sebagai miskin tegar di bawah sistem eKasih, tanpa memerlukan permohonan baharu.
Langkah ini memudahkan penerima dan memastikan bantuan sampai terus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Sabah Electricity dalam memastikan akses kepada bekalan elektrik yang mampan dan inklusif, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.
Melalui pemberian rebat ini, pengguna yang layak dapat mengurangkan jumlah bayaran bil bulanan mereka tanpa perlu membuat permohonan berasingan, tertakluk kepada pengesahan status kelayakan dalam pangkalan data berkaitan.
Sabah Electricity menegaskan bahawa langkah ini dilaksanakan selari dengan usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan memastikan sebarang pelarasan tarif tidak membebankan golongan rentan.
Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kelayakan dan mekanisme pelaksanaan rebat ini boleh menghubungi talian perkhidmatan pelanggan Sabah Electricity 15444, 088-51 5000, aplikasi Sabah Electricity.
