Operasi bersepadu ESSCOM bongkar aktiviti haram, rampasan cecah RM433,077

WhatsApp Image 2026 07 31 at 4.29.03 PM

Oleh: Nurul Fazliana Norman

SANDAKAN: 31 Julai 2026 – Operasi bersepadu di bawah penyelarasan Markas Keselamatan Sabah Timur (ESSCOM) selama dua hari di Sandakan berjaya mengesan pelbagai aktiviti haram. Nilai keseluruhan tindakan penguatkuasaan, rampasan, kompaun dan anggaran kerugian mencecah RM433,077.

Sebanyak 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam pemeriksaan di Jalan Istana, Kampung Tabah Baru, Kampung Karamunting dan Pusat Bandar Sandakan. Mereka terdiri dari 21 warga Filipina dan empat warga Indonesia, kemudian diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut kerana gagal menunjukkan dokumen sah.

new 1

Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas rokok seludup bernilai RM20,000. Sabah Electricity Sdn. Bhd. merampas 300 kilogram kabel elektrik haram bernilai RM15,000, dengan anggaran kerugian hasil tahunan RM300,000 akibat curi elektrik.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merampas 1,105 kg minyak masak subsidi (RM2,762) dan sebuah kenderaan (RM20,049), jumlah rampasan RM22,811. Majlis Perbandaran Sandakan menyita barangan jualan tanpa lesen bernilai RM6,500 dan mengeluarkan kompaun RM300.

Polis menahan dua lelaki dengan 0.07 gram dadah disyaki syabu, disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Jabatan Tenaga Kerja mengeluarkan 20 kompaun dan sembilan notis di bawah Ordinan Buruh Sabah, dan mengarah bayaran tunggakan gaji minimum RM116 – jumlah tindakan RM60,116. Jabatan Air Negeri Sabah mengenakan dua kompaun RM600 atas sambungan air haram. Jabatan Hidupan Liar Sabah merampas 1,550 biji telur penyu bernilai RM7,750, menghalang kemasukan ke pasaran gelap.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos berkata, kadar pengesanan tinggi membuktikan pendekatan risikan bersepadu berkesan.

WhatsApp Image 2026 07 31 at 4.51.11 PM

“Operasi bukan sekadar membanteras PATI, tetapi turut mengesan pelanggaran undang-undang yang menjejaskan keselamatan, ekonomi, hasil kerajaan dan kesejahteraan masyarakat di Zon ESS,” ujarnya.

Menurutnya, ancaman di Zon ESS merangkumi jenayah rentas sempadan, penyeludupan, penyalahgunaan subsidi, sambungan utiliti haram, pelanggaran pekerjaan dan eksploitasi sumber alam. Semua ini memberi kesan langsung kepada pendapatan kerajaan, peluang pekerjaan rakyat tempatan dan keselamatan komuniti.

Beliau menjelaskan, operasi ini adalah sebahagian usaha Kerajaan MADANI melalui Operasi SANGGAH ESSCOM untuk memperkukuh keselamatan bersama Polis, Angkatan Tentera dan Maritim Malaysia, di samping membantu jabatan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam penguatkuasaan undang-undang.

Victor menegaskan, ESSCOM akan terus mempertingkat operasi bersepadu berasaskan risikan dan kerjasama strategik. Selaras hasrat “Tiada Hari Tanpa Operasi”, tindakan bersepadu akan diperkasakan untuk membanteras jenayah rentas sempadan, memastikan Zon ESS kekal selamat dan kondusif untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.

Operasi membabitkan 263 pegawai dan anggota dari ESSCOM, PDRM, Pasukan Gerakan Am, ATM, APMM, JIM, JKDM, KPDN, JTK, SESB, JANS, Jabatan Hidupan Liar Sabah, MPS, JPN dan APM.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang aktiviti mencurigakan di Zon ESS boleh menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.

Sumber: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal