‘NINAVAU’ Raih Penerimaan Luar Negara, Kisah Dari Sabah Kini Menembusi Pentas Antarabangsa

photo 2025 11 26 09 57 08

KOTA KINABALU: 25 November 2025 — Filem NINAVAU terus mencuri perhatian apabila menerima sambutan positif di luar negara, membuktikan karya dari Sabah ini mempunyai kekuatan universal walaupun berakar daripada kisah komuniti Kadazan.

Diadaptasi dari filem pendek yang memenangi Filem Pendek Terbaik di Malaysian International Film Festival (MIFFest) 2019, NINAVAU berkembang menjadi filem panjang selepas mendapat sokongan dana MyCreative Ventures.

Menurut pengarah, Bebbra Mailin, walaupun filem ini menyentuh isu silang agama dan identiti, fokus utamanya ialah keluarga, pilihan peribadi, serta penerimaan antara individu dan komuniti.

photo 2025 11 26 09 57 03

Beliau menjelaskan bahawa keputusan penting dalam hidup sering dipengaruhi oleh budaya dan nilai kekeluargaan, bukan semata-mata kehendak peribadi.

Filem ini membawakan perspektif yang jarang ditonjolkan dalam sinema Malaysia, termasuk persilangan agama, identiti budaya, serta perbezaan pandangan antara Malaysia Timur dan Barat. Meskipun berasaskan genre drama keluarga, NINAVAU memperlihatkan kedalaman emosi dan konflik dalaman yang mencabar pilihan peribadi serta kesannya terhadap hubungan kekeluargaan.

Selain itu, pengarah turut menekankan kepentingan warisan Kadazan, termasuk ritual Mihon Pinisi dan usaha memelihara bahasa Kadazan, menjadikan NINAVAU bukan sahaja sebuah cerita peribadi, tetapi juga cerminan budaya yang kaya.

photo 2025 11 26 09 57 11

Dari sisi teknikal, NINAVAU dibentuk dengan gaya visual humanis dan realistik, diinspirasikan daripada sinema Jepun seperti karya Kore-eda. Filem ini menerima sentuhan sinematografer Indonesia, Bayu Prihantoro Filemon yang terkenal dalam sinema independen dan komersial di Indonesia serta muzik yang dirakam di Freedom Studio Infinity, Jepun dengan pemuzik Jepun di bawah bimbingan pengarah muzik Andrew Bong. Rekaan bunyi pula dihasilkan oleh pemenang dua kali Anugerah Rekaan Bunyi Terbaik FFM, Mohsin Othman.

Sebahagian besar pelakonnya adalah bakat Sabah sendiri, termasuk Jovenea Jim, Tati Eliana Tonny, dan Edward Sinsong. Bagi para pelakon bukan profesional, persediaan intensif melalui bengkel lakonan yang dikendalikan pelakon berbakat Vanidah Imran membantu membina persembahan yang autentik dan penuh emosi.

Bebbra berharap NINAVAU dapat ditonton lebih meluas di Sabah, Semenanjung dan luar negara, membuka ruang dialog tentang keluarga, identiti, dan perbezaan agama, serta memperkenalkan budaya Kadazan kepada generasi muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal