47 kanak-kanak Ranau dididik Asas Pengurusan Kewangan

3263b71e e601 4ff7 b0dc 04c963469bc6

RANAU: 6 Mei 2026 – Seramai 47 kanak-kanak dari Tabika Pasir Putih dan Tabika Muhibbah menyertai Program Literasi Kewangan “Si Kecil Celik Wang” yang dianjurkan oleh dua pelajar tahun akhir Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Kolej Vokasional (KV) Keningau. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pengurusan wang sejak usia awal.

Program berkenaan dikendalikan oleh Rusell Razali dan Chriscaseyvel Erey melalui pelbagai aktiviti interaktif, bahan bantu mengajar, dan penerangan visual yang disesuaikan dengan tahap pemahaman kanak-kanak.

Antara objektif utama program adalah membantu peserta mengenali nilai mata wang Malaysia, membezakan antara keperluan dan kehendak, serta memupuk amalan menabung dan pengurusan perbelanjaan melalui penggunaan buku wang saku.

Menurut penganjur, pendedahan awal terhadap literasi kewangan penting dalam membentuk sikap bertanggungjawab terhadap wang dan membantu kanak-kanak membuat keputusan kewangan yang lebih bijak pada masa hadapan.

Program ini merupakan sebahagian daripada projek komuniti hasil penyertaan kedua-dua pelajar dalam program Fund For Life anjuran Arus Academy dan FWD Insurance. Melalui program itu, mereka menerima geran mikro berjumlah RM600 untuk menjalankan inisiatif berfokuskan pendidikan literasi kewangan dalam komuniti.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, memuji komitmen dan usaha proaktif kedua-dua pelajar dalam menjayakan program tersebut.

Beliau berkata, projek komuniti sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah membolehkan pelajar mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari sepanjang pengajian mereka.

Menurut beliau, inisiatif itu membuktikan pelajar KV Keningau berupaya melaksanakan program berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal