KOTA KINABALU: 24 June 2026 – Seramai 354 warga pendidikan di Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, integriti dan komitmen mereka dalam memajukan sektor pendidikan.
Selain itu, 15 pesara pendidikan turut diraikan menerusi program Jasamu Dikenang 2026 atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang perkhidmatan.
Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab berkata pengiktirafan berkenaan diberikan kepada individu yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang, disiplin tinggi dan kesungguhan melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Sesungguhnya, pengiktirafan yang diberikan pada hari ini bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh.
“Penganugerahan ini hadir hasil dari prestasi kerja yang cemerlang, disiplin yang tinggi, integriti yang kukuh dan kesungguhan melaksanakan amanah melebihi daripada tanggungjawab biasa yang dipertanggungjawabkan,” katanya.
Penerima APC terdiri daripada pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua, guru besar, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).
Menurut Mohd Razali, kecemerlangan yang diraikan itu mencerminkan usaha berterusan warga pendidikan dalam memastikan sistem pendidikan terus berkembang dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Beliau berkata setiap lapisan warga pendidikan memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah pada masa depan.
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Jasamu Dikenang 2026 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
