TAMBUNAN: 29 Ogos 2026 — Kumpulan Jazz Orkestra Bayu Ritma Sementa (BRS) yang baru dibentuk semula kira-kira empat bulan lalu muncul juara Pertandingan Jazz Orkestra Peringkat Negeri Sabah 2026 pada 27 Ogos lalu.
Kemenangan itu mengesahkan tiket BRS untuk mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Kuala Terengganu, dari 28 hingga 30 September ini.

Di bawah bimbingan jurulatih dari sekolah muzik House of Music Arts (HOMARTS), BRS berjaya membentuk sebuah pasukan yang mampu bersaing di peringkat negeri walaupun sebahagian pemain alat muzik tiupan masih baharu dan dalam proses mengukuhkan asas muzik.
Ketua Jurulatih BRS, Nick Arddley Nicholas, berkata kekurangan itu tidak menjadi penghalang untuk pasukan berkenaan bersaing.

“Cabaran terbesar seorang arranger adalah bagaimana mencipta sebuah arrangement untuk pemain beginner, tetapi membuatkan mereka kedengaran hebat dan tidak berbunyi seperti beginner,” katanya.

BRS mengetengahkan lagu “Seri Langkat” dengan susunan jazz eksperimental, menggabungkan elemen jazz Latin, swing, neo-soul, R&B dan jazz progresif.

Kumpulan itu dibimbing Nick Arddley bersama penolong jurulatih, Nick Auddrey Nicholas dan Aerence Judih.
Guru-guru SMK Tambunan, Delna Cleophas, Frenysia Frencis dan Macrena S. Yubong, turut memainkan peranan dalam proses latihan.

Pihak jurulatih dan pengurusan BRS turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa pelajar yang sentiasa memberikan sokongan dan motivasi sepanjang latihan.
BRS kini meneruskan persiapan menjelang pertandingan kebangsaan dengan misi mengharumkan nama Sabah.

