1,000 Graduan Kolej Vokasional Sabah dan Labuan Diraikan di Konvokesyen Ke-10

1000448101 1.jpg scaled

KOTA KINABALU: Seramai 1,000 graduan diploma dari sembilan buah Kolej Vokasional (KV) di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bakal diraikan dalam satu majlis penuh gilang-gemilang di Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Kali Ke-10 Tahun 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 16 April 2026 selepas kali terakhir berlangsung di zon Sabah dan WP Labuan pada 2019 lalu.

Majlis berprestij yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) ini bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor merupakan pengiktirafan kepada kecemerlangan para graduan kemahiran di bawah kendalian Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan.

Pengerusi Majlis Pengarah Kolej Vokasional Zon Sabah dan WP Labuan, Ahmad Fakhrurazi Bin Haji Hamzah yang juga merupakan Pengarah KV Lahad Datu menyatakan bahawa majlis ini adalah platform utama bagi meraikan kejayaan para pelajar yang telah bertungkus-lumus menamatkan pengajian peringkat diploma merentasi pelbagai bidang kemahiran seperti Pertanian, Hospitaliti, Kulinari, ICT selain Mekanikal dan Pembuatan. Di samping itu, pengiktirafan juga diberikan kepada graduan cemerlang menerusi Anugerah Pelajar Terbaik Program (APTP).

“Konvokesyen kali ke-10 ini bukan sekadar upacara simbolik malah merupakan bukti keberkesanan sistem pendidikan vokasional dalam melahirkan modal insan yang kompeten dan sedia memasuki industri sebagai pekerja mahir.

“Kita juga berharap agar penganjuran majlis ini dapat membakar semangat para graduan untuk terus menceburi pasaran kerja atau melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar para graduan tidak hanya menjadi pencari kerja, tetapi juga pencipta peluang pekerjaan melalui kemahiran teknikal dan elemen keusahawanan yang telah diterapkan sepanjang pengajian.

Majlis Konvokesyen Kali Ke-10 dijangka menjadi penanda aras baharu dalam memacu kecemerlangan TVET di zon ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan tenaga kerja mahir bertaraf dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal