KOTA KINABALU: 13 Disember 2025 – Persidangan Pendidikan Masyarakat Orang Asal kali Ke-3 menjadi medan penting memperkukuh usaha pemeliharaan bahasa ibunda apabila suara Generasi Z tampil berkongsi pengalaman dan pandangan mereka dalam mempertahankan bahasa asal agar tidak pupus ditelan arus pemodenan.
Dalam sesi perkongsian melibatkan golongan muda, pelajar Tingkatan Empat dari Kota Belud, Melishnear Maikol, 16, yang bertutur dalam bahasa Dusun Tobilung, berkata penggunaan bahasa ibunda perlu dipraktikkan sejak kecil dan dikongsi bersama rakan sebaya.

“Sejak kecil, saya telah bertutur dalam bahasa Tobilung di rumah. Saya juga berusaha mengajar rakan-rakan yang kurang fasih supaya mereka dapat memahami dan mengenali bahasa kami. Selain itu, kami menggunakan kamus sebagai rujukan terjemahan. Bahasa Tobilung sebenarnya tidak sukar untuk dipelajari,” katanya.
Menurutnya, peranan keluarga dan sekolah amat penting dalam memastikan bahasa ibunda terus digunakan dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam kalangan remaja Generasi Z yang semakin terdedah kepada bahasa dominan.
Sementara itu, lepasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Micha Felicia Anak Jacky Helmante, 24, yang bertutur dalam bahasa Bidayuh Bau, menegaskan bahasa ibunda adalah identiti utama masyarakat orang asal.

“Bahasa mencerminkan identiti sesuatu masyarakat. Bagi komuniti Bidayuh, bahasa ibunda amat penting kerana ia diwariskan secara lisan sejak dahulu. Sekiranya generasi muda tidak lagi bertutur dalam bahasa tersebut, maka bahasa itu berisiko lenyap,” jelasnya.
Beliau yang kini terlibat dalam pembangunan kurikulum Bahasa Bidayuh turut memaklumkan usaha sedang giat dijalankan untuk menjadikan bahasa tersebut sebagai mata pelajaran di sekolah, seiring inisiatif pemeliharaan budaya melalui pendidikan formal.
Dari Semenanjung pula, Edda A/p Rahim, 22, penutur bahasa Semai, berkata bahasa ibunda perlu diajar kepada anak-anak sejak kecil tanpa mengira persekitaran.

“Bahasa ibunda perlu diajar sejak usia awal hingga dewasa. Di mana sahaja mereka berada, generasi muda harus sentiasa mengingati dan menggunakan bahasa ibunda kerana itulah identiti kita,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa komuniti Semai aktif menganjurkan program kampung dan pendidikan tidak formal bagi memastikan penggunaan bahasa terus hidup dalam kalangan semua peringkat umur.

Persidangan Pendidikan Masyarakat Orang Asal kali Ke-3 menegaskan bahawa Generasi Z bukan sahaja pewaris bahasa ibunda, malah berperanan sebagai agen perubahan dalam memartabatkan bahasa orang asal melalui pendidikan, media sosial dan kehidupan seharian.
Usaha berterusan daripada komuniti, institusi pendidikan dan pihak berkepentingan dilihat penting bagi memastikan bahasa orang asal terus relevan dan diwarisi oleh generasi akan datang.
