Warga Penangah perkukuh peranan lindungi gajah

Gambar Pameran Daripada MPOB Sempena Hari Gajah Malaysia

PENANGAH: 17 September 2026 – Warga Penangah terus memainkan peranan penting dalam usaha mewujudkan kehidupan bersama gajah Borneo secara selamat dan harmoni, khususnya dalam menangani isu dan risiko konflik manusia-gajah yang melibatkan komuniti setempat.

Komitmen itu dizahirkan menerusi Sambutan Hari Gajah Sedunia Peringkat Mukim Penangah yang menghimpunkan kira-kira 600 peserta di Dewan Terbuka Penangah pada 15 September.

Gambar Kehadiran Lebih 600 Orang Sempena Hari Gajah Malaysia
Lebih 600 peserta hadir dalam program berkenaan

Ketua Projek Earthworm Foundation, Juhana Johnny, berkata penglibatan komuniti setempat amat penting kerana warga Penangah antara pihak yang berdepan secara langsung dengan kehadiran dan pergerakan gajah di kawasan berkenaan.

Katanya, pengalaman dan pengetahuan masyarakat mengenai keadaan setempat boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kesedaran, mengurangkan risiko konflik dan membantu memastikan keselamatan manusia dan gajah terus diberi perhatian.

“Program seperti ini menjadi ruang untuk komuniti dan pelbagai pihak berkongsi pengalaman dan memperkukuh kerjasama dalam menangani isu konflik manusia-gajah,” katanya.

Beliau berkata pendekatan melibatkan masyarakat secara langsung juga penting untuk membina kefahaman bahawa pemuliharaan gajah bukan hanya tanggungjawab agensi berkaitan, sebaliknya memerlukan penyertaan komuniti yang berdepan dengan isu berkenaan di lapangan.

Pelbagai aktiviti kesedaran dan kemasyarakatan dilaksanakan dari 11 hingga 15 September, termasuk pertandingan melukis dan mewarna, sukaneka, bola sepak dan pameran pemuliharaan gajah Borneo.

Dalam teks ucapan Masiung yang dibacakan Ronley, beliau menegaskan bahawa pemuliharaan gajah memerlukan kerjasama berterusan antara komuniti, pemimpin tempatan, agensi kerajaan, sektor swasta dan organisasi konservasi.

Menurut beliau, kerjasama merentas pihak itu penting untuk memastikan isu berkaitan gajah dapat ditangani secara berkesan, di samping mewujudkan keadaan yang membolehkan manusia dan gajah Borneo hidup bersama secara selamat dan harmoni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal