PENAMPANG: 22 Jun 2026 – Seorang wanita tempatan berusia 43 tahun ditahan selepas polis merampas 30 botol air ketum dan daun ketum dalam serbuan di Kampung Ulu Seberang, Putatan, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy bin Newton berkata, serbuan kira-kira jam 1.00 tengah hari itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Penampang berdasarkan maklumat risikan.
Pemeriksaan menemui 30 botol plastik berisi cecair air ketum dan satu karung plastik putih berisi daun ketum. Nilai rampasan dianggarkan RM975, turut disita peralatan memproses air ketum.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Polis menegaskan tidak akan berkompromi dalam membanteras kegiatan haram dan akan mempergiatkan operasi. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa.
Sumber: Polis Daerah Penampang
